Bismillahirrahmanirrahim / بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم‬ ...

Google+ Followers

Followers

SemBang Gembang Di SiNi

Rakan Aktif

PeNgomEn BloG Ku..

14 June 2010

* Panduan ibu hamil berpuasa









Dr. Adilah Ahmad.



KEHAMILAN merupakan suatu perubahan fisiologi wanita yang berlaku untuk tempoh sembilan bulan dan disusuli dengan tempoh berpantang.
Kebetulan masuk bulan Ramadan, wanita yang hamil juga ada kalanya ingin menjalani ibadah tersebut.

Namun, terdapat beberapa aspek perlu difahami mengenai amalan berpuasa di kalangan wanita yang sedang hamil.

Menurut Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) Dr. Adilah Ahmad manusia normal juga ‘berpuasa’ pada setiap malam sewaktu tidur.

“Bezanya sewaktu tidur kita tidak melakukan aktiviti lain. Tidur malam secara purata iaitu lapan jam berterusan juga tanpa disedari menyebabkan kita berpuasa dalam tempoh tersebut.

“Penyesuaian pengambilan pemakanan yang mencukupi dalam tempoh terhad ini secara prinsipnya tidak mendatangkan masalah besar.

“Bagaimanapun, jika berpuasa dikhuatiri akan menjejaskan kehamilan, maka seseorang bolehlah untuk tidak berpuasa,” ujarnya.

Berkongsi panduan bagaimana ibu hamil yang ingin berpuasa, Dr. Adilah memberikan beberapa panduan berguna.

“Sebaik-baiknya sebelum ibu hamil mengambil keputusan untuk berpuasa, mereka perlu mendapatkan nasihat doktor masing-masing sama ada boleh berpuasa atau sebaliknya.

“Wanita yang mempunyai masalah seperti kencing manis kronik, darah tinggi, masalah ulser, sistem pencernaan dan sebagainya, mungkin dinasihatkan doktor agar tidak berpuasa,’’ katanya.

Selain itu, beliau menasihatkan ibu hamil mengambil makanan dan minuman yang mengandungi keperluan zat makanan yang diperlukan seeloknya dalam kuantiti mencukupi, sama seperti sewaktu beliau tidak berpuasa.
“Cara pengambilannya sahaja yang diubah kepada tempoh sewaktu berbuka puasa sehingga waktu bersahur sahaja.

“Ini sangat penting. Penambahan berat badan yang sepatutnya juga perlu dipastikan sekitar setengah kilogram setiap minggu apabila melepasi bulan keempat.

“Seterusnya, pastikan mengambil kalori (kcal) makanan yang sihat iaitu berjumlah sekitar 25 hingga 30 kcal bagi satu kilogram berat badan individu (secara purata di antara 1,800-2,000 kcal setiap hari).

“Keperluan zat makanan pula hendaklah seimbang mengikut piramid makanan yang disarankan dengan pengambilan karbohidrat sebanyak 50 peratus, protein 30 peratus dan lemak 10 hingga 20 peratus.

“Sama ada berpuasa atau tidak, pemakanan sihat sangat mempengaruhi perkembangan janin dan bayi yang bakal dilahirkan,’’ ujarnya.

Beliau turut memberitahu, ibu hamil memerlukan air yang mencukupi, sekurang-kurangnya dua liter setiap hari (bersaiz empat botol kecil air mineral atau lapan hingga 10 gelas) bagi membantu mengurangkan dehidrasi atau kekeringan,” katanya.

Tambahnya, elakkan membeli-belah atau berjalan-jalan terutamanya di tengah panas supaya kekal segar dan tidak berlaku dehidrasi.

“Sebaiknya ambil makanan tambahan seperti pil vitamin dan kalsium pada waktu malam dan bukannya sewaktu bersahur bagi mengurangkan kesan sampingan akibat ubat seperti loya dan pening kepala.

“Ibu hamil juga disyorkan melambatkan waktu bersahur kepada jam terakhir sebelum imsak serta tidak melambat-lambatkan berbuka apabila sampai waktunya bagi membantu mengurangkan tempoh berpuasa kepada hanya perlu sahaja,” katanya.

Menurut Dr. Adilah lagi, sesetengah ibu hamil yang berpuasa mengalami ketosis iaitu masalah yang berlaku dalam keadaan kelaparan yang lazimnya terjadi apabila berpuasa melebihi 16 jam terutamanya bagi wanita yang mempunyai penyakit kencing manis ataupun penyakit kurang zat makanan.
Situasi tersebut akan menghasilkan bahan ketone yang mungkin boleh memberi kesan negatif kepada wanita dan perkembangan janin dikandungnya.

Tambah Dr. Adilah lagi, wanita hamil juga perlu mengenalpasti isyarat tubuh sendiri.

“Jika ibu yang hamil sedar, mereka sememangnya tidak mengambil keperluan pemakanan yang mencukupi dan tidak bermaya, atau mengalami simptom-simptom hipoglisemia iaitu kekurangan gula dalam darah dan pening kepala, berpeluh-peluh dan sebagainya, mereka dinasihatkan berbuka puasa,” pesannya.

Perubahan kehamilan untuk menyesuaikan diri ketika berpuasa.

* Trimester pertama (tiga bulan pertama kehamilan).
Petanda-petanda morning sickness seperti tekak loya, pening kepala dan tidak berselera makan.
Pilih makanan bersesuaian dan kurang mengambil makanan berminyak serta gandakan meminum banyak air.
Pengambilan pil asid folik pula pada sebelah malam dan bukannya sewaktu bersahur supaya kesan sampingan seperti berasa loya dan bau ketika sendawa.

* Trimester kedua (bulan ke-4, 5 dan 6 kehamilan)
Pada waktu ini morning sickness dijangka telahpun reda, namun berlaku penurunan tekanan darah dari paras biasa menyebabkan ada yang mudah pitam terutamanya jika berdiri untuk tempoh yang lama. Minum air yang mencukupi selepas berbuka puasa serta tidak berdiri lama dapat mengurangkan masalah ini.

* Trimester ketiga (bulan ke -7 hingga kelahiran)
Wanita lebih mudah penat apabila bergerak akibat saiz kandungan yang semakin besar. Banyakkan berehat dapat membantu.





BAGI wanita yang mengandung khususnya kali pertama, tentu mempunyai banyak persoalan sama ada kehamilan dan berpuasa mempunyai kesan sampingan terhadap bayi mereka.

Umum mengetahui bahawa Islam memperuntukkan pengecualian berpuasa semasa bulan Ramadan ini kepada golongan tertentu, antaranya:

1. Wanita yang kandungan mereka mencapai trimester ketiga (tiga bulan terakhir) dan akan melahirkan anak pada bila-bila masa atau mana-mana minggu di mana mengandung dan berpuasa membahayakan kesihatan, mengikut doktor yang merawat mereka.

2. Wanita yang menyusukan anak

3. Wanita yang sedang haid

4. Wanita yang mengalami nifas (dalam pantang bersalin)

Kesihatan janin semasa ibu mengandung boleh dilihat dari dua segi iaitu pemakanan ibu dan, gangguan metabolisme badan ibu.

‘‘Sebelum melaksanakan ibadah puasa, berbincanglah terlebih dahulu dengan doktor peribadi antenatal anda kerana beliau lebih mengetahui akan sejarah kandungan dan juga sejarah kesihatan anda.

‘‘Berkemungkinan doktor menasihati agar anda tidak berpuasa sekiranya menghidapi penyakit kencing manis yang memerlukan rawatan insulin, darah tinggi dan juga mengalami permasalahan dengan sistem pencernaan terutamanya loya dan muntah semasa awal mengandung.

‘‘Prinsip pemakanan yang betul penting semasa mengandung, tidak kira sama ada di bulan Ramadan ataupun tidak,’’ kata Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Shah Reza Johan Noor.

Menurutnya, pola pemakanan wanita hamil sepatutnya membekalkan pemakanan optimum untuk dua individu – ibu dan janin yang dikandung. Bagaimanapun, jangan pula keterlaluan dalam pengambilan makanan semasa di bulan Ramadan ini.

Ujar beliau, adalah penting bagi wanita hamil minum air secukupnya memandangkan negara kita berada di garisan Khatulistiwa yang mana cuacanya panas sepanjang musim.

‘‘Ini dapat menghindari daripada berlakunya dehidrasi (tubuh kekurangan air atau kontang). Dinasihatkan supaya puan meminum sekurang-kurangnya dua liter air sehari.

‘‘Sekiranya berat badan ibu mencapai lebih kurang 11 hingga 15 kilogram sepanjang mengandung, lazimnya pemakanan ibu memadai dan berpuasa biasanya tidak mendatangkan apa-apa ancaman.

‘‘Kelahiran bayi yang kurang berat badan biasanya berlaku pada ibu yang tidak seimbang dari segi pemakanannya (malnutrisi),’’ jelasnya.
Dr. Shah Reza berkata, berat badan ibu mungkin berubah sepanjang Ramadan ini bergantung kepada amaun kalori yang diambil.
Banyak kajian menunjukkan berpuasa pada bulan Ramadan tidak memudaratkan ibu jika mereka mengambil kalori dan zat makanan dengan mencukupi.

Lagipun, berpuasa untuk orang Islam bermakna hanya makanan tengah hari dilupuskan manakala pengambilan sarapan pagi (sahur) serta makan malam (berbuka puasa) perlu diamalkan mengikut yang disyorkan oleh agama.

Wanita mengandung, kata Dr. Shah Reza, sebenarnya mudah mengalami komplikasi akibat kesalahan amalan pemakanan mereka. Kebuluran berlaku pantas dalam tempoh ini.

‘‘Jika kalori serta zat pemakanan tidak ditegaskan dengan betul, metabolisme badan ibu akan mengalami perubahan proses biokimia dari glikolisis ke lipolisis dan seterusnya pembentukan bahan-bahan berketon.
‘‘Ini yang berlaku pada ibu-ibu yang mengalami loya-loya dan muntah-muntah semasa mengandung di trimester pertama (tiga bulan pertama) sehingga mereka perlu dimasukkan ke wad sakit puan,’’ ujarnya.

Dr. Shah Reza menyarankan agar wanita hamil tidak meninggalkan sahur sekiranya ingin berpuasa dan berat badan perlulah diamati supaya metabolisme badan tidak menjejaskan kesihatan mereka serta janin.
Pakar perbidanan biasanya tidak menggalakkan ibu mengandung untuk berpuasa pada trimester pertama (12 minggu pertama) dan juga pada trimester ketiga.

‘‘Mengandung pada bulan keempat hingga keenam dibenarkan dengan syarat kesihatan badan serta mental puan bagus dan pakar perbidanan mengesahkan bahawa puasa mungkin tidak memudaratkan.

‘‘Pemantauan puan serta kandungan akan dilakukan lebih kerap. Dikhuatiri, permasalahan yang timbul bukan dari segi pemakanan tetapi dari segi kekeringan air dari badan akibat pengambilan air yang berkurangan selama 10 hingga 14 jam,’’ terang Dr. Shah Reza.

Sekiranya pola pemakanan wanita hamil tidak betul, berkemungkinan anda akan mengalami:

1. Ketidakhadaman dan senak perut akibat terlalu abnyak makan terutamanya makanan berempah, berlemak serta bergoreng dan juga minuman bergas atau berkarbonat

2. Sembelit akibat makan makanan diproses, kekurangan pengambilan air serta serat. Bagi mengelakkannya, banyakkan makanan berbijirin, buah-buahan serta sayur-sayuran

3. Kelesuan serta keletihan. Ini disebabkan oleh makanan yang dimakan banyak kandungan berkanji serta berkarbohidrat dan berlemak

4. Sakit kepala dari tidur yang tidak mencukupi. Tidur haruslah mencukupi untuk memastikan keseimbangan mental serta fizikal keesokan harinya semasa anda ke tempat kerja, pengajian dan sebagainya. Kurang tidur boleh menyebabkan kekeliruan, bercelaru, ketidakcernaan dan sakit kepala. Ini membahayakan kandungan serta janin.

5. Kekejangan otot-otot

Dr. Shah Reza memberitahu, jika berpuasa tanpa pengambilan sahur yang betul, anda mungkin mengalami gejala hipoglisemia iaitu kekurangan gula badan.

Hipoglisemia terbahagi kepada dua iaitu:

1. Rungutan yang berkaitan dengan pengaktifan sistem autonomik serta rembesan epinefrin seperti berpeluh, terketar-ketar, jantung berdebar, denyutan nadi meningkat, rasa cemas, lemah, loya dan muntah-
muntah.

2. Rungutan yang bersabit dengan kurang penggunaan glukos oleh otak, lama kelamaan penurunan gula menjadi lebih teruk dan rendah.
Biasanya mereka ini akan mengalami sakit kepala, penglihatan kabur, letih lesu, tidak bermaya, mudah terganggu serta sensitif, kurang daya tumpuan, kekeliruan, mengantuk, kesedaran tenggelam timbul, hilang keupayaan intelek dan perubahan personaliti.

Wanita mengandung seboleh-bolehnya perlu

1. Menghindari pengambilan gula, garam, makanan berminyak dan lemak berlebihan.

2. Minuman berkafeina khasnya dari kopi juga perlu dielakkan.

3. Amalkan memakan makanan yang segar sahaja dan mengelakkan makanan diproses.

4. Pastikan buah-buahan serta sayur-sayuran sebagai menu utama. Makanan tersebut lazimnya kurang kalori dan selalunya juga, sukar untuk memakan makanan tersebut secara berlebihan kerana mudah kenyang.

5. Makanan sampingan seperti kuih muih contohnya kuih tanjung, Nekbat, jala mas boleh dimakan kerana nafsu pada bulan Ramadan yang mendorong tetapi kurangkanlah. Hanya sekadar mahu merasa, itu sudah memadai.

‘‘Puan juga harus menjalani aktiviti bersenam secara aerobik pada bulan puasa. Ramai yang berkecenderungan untuk menurunkan berat badan pada bulan puasa tetapi sebagai wanita yang sedang mengandung, bersenam bukanlah bertujuan menurunkan berat badan.

‘‘Ia untuk meningkatkan stamina serta menguatkan badan puan semasa proses kelahiran. Bayangkan rahim puan terpaksa berkontraksi berjam-jam lamanya untuk melahirkan bayi.

‘‘Bersenam adalah pendorong utama untuk mengurangkan selera makan. Otak juga mengeluarkan bahan kimia tertentu yang mengurangkan selera dan nafsu makan, jadi bersenamlah secara aerobik selama 20 hingga 30 minit sehari,’’ kata Dr. Shah Reza.

Tambah beliau, Islam mementingkan kesihatan badan wanita hamil. Para saintis Islam sependapat bahawa puasa tidak perlu dilaksanakan sekiranya anda takut dan khuatir akan kesihatan janin.

Begitu juga jika anda sedang menyusukan anak. Puasa boleh diganti pada hari-hari kemudiannya pada bulan-bulan lain. Bacalah buku mengenai jenis-jenis makanan serta zat-zat mereka pada bulan Ramadan ini.

Anda boleh mengubah cara hidangan serta jenis diet yang boleh mengubah makanan sekeluarga. Jayakan bulan Ramadan sebagaimana yang sepatutnya. Utamakan makanan segar dalam diet seharian.

No comments:

Post a Comment

,")..Terima Kasih kerana sudi utk memberi sepatah dua kata dekat ana yer...('',