Termakbulkah Doa Anda?



TERMAKBULKAH DOA ANDA?
Pernahkah kamu berdoa, tetapi merasakan doa kamu itu lambat dimakbulkan oleh Yang Maha Esa? Pernahkah kamu berdoa, tetapi terkadang yang kamu dapat berlainan dengan apa yang kamu impikan? Dan kamu tertanya-tanya mengapa Allah SWT menentukan sedemikian buatmu.
Di sinilah wujudnya rahsia di sebalik suatu doa, yang ingin saya kongsikan bersama-sama para pembaca sekalian.
Sebenarnya, doa-doa yang dipetik daripada Al-Qur’an dan As-Sunnah memang banyak, tetapi untuk menghayatinya adalah suatu ibadat dan untuk memahami dan menyelami rahsia di sebaliknya memerlukan penghayatan yang tinggi.
Rahsia-rahsia doa terkandung dalam konteks siapakah yang berdoa, bagaimanakah penerimaan Allah akan doa kita, berapa lamakah kita menanti doa kita diterima Allah, kenapa doa kita ditolak, apakah penyebab yang menjadikan doa seseorang itu ditolak dan apakah pengajaran di sebalik doa tersebut.
KENAPA KITA KENA BERDOA?
Haa, kenapa ye? Kenapa ye kita selalu cakap, “Minta-mintalah…” atau pun “Harap-haraplah…”
Bibir kita tidak pernah lekang daripada menyebut kata-kata mengharap apabila kita memerlukan sesuatu. Sedar atau tidak, itu adalah doa yang kita panjatkan secara tidak langsung. Justeru, apakah pentingnya doa dalam kehidupan kita? Sebab apa ye kita kena berdoa?
Sebab, doa itu hakikatnya adalah luahan hati yang timbul dari jiwa yang meyakini wujudnya dua hakikat:
1.  Hakikat wujudnya Allah SWT yang merupakan sumber kesempurnaan, kegagahan, kekayaan dan kelimpahan yang tiada bandingannya.
2.  Hakikat wujudnya makhluk yang merupakan wadah kefakiran, keberhajatan, keperluan dan kedaifan.
Setuju tak?? =) Jadi, wujudnya Allah SWT adalah sebagai sumber bagi makhluk-makhlukNya yang amat memerlukanNya untuk mencapai hasrat dan kehendak mereka masing-masing. Atau dengan lebih tepat lagi, Allah SWT menciptakan makhluk-makhlukNYA sentiasa dalam keadaan yang sedemikian rupa supaya mereka tidak merasa bongkak dan lupa daratan, supaya mereka sentiasa berpaut kepada Allah SWT dan juga bersujud menyembah hanya kepadaNya dalam usaha mencari kesempurnaan hidup sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi ini.
TIPS-TIPS TENTANG CARA BERDOA
Setiap sesuatu mestilah mengikut saluran, jalan atau caranya yang betul. Begitulah halnya dengan berdoa. Ada cara-cara yang dapat anda semua lakukan agar doa anda itu mudah makbulnya di sisi Allah SWT. Antaranya:
1.  Bertaubatlah terlebih dahulu dengan membaca kalimat Al-Istighfar. Firman Allah SWT: “…Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.” (Al-Baqarah: 222)
2.  Menadah tangan dan menghadap kiblat sewaktu membaca doa. Sabda Rasulullah SAW: “Tuhan kamu Maha Pemalu dan Maha Pemurah. Dia malu jika hamba-Nya sudah mengangkat tangan berdoa kepada-Nya lalu tidak diberi.” (Hadis riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah)
3.  Mulakan doa dengan ta’awudz terlebih dahulu untuk mengelakkan kita daripada gangguan syaitan. Contohnya, “Aku berlindung kepada Allah daripada godaan syaitan yang direjam.”
4.  Mulakanlah doa kita dengan memuji Allah SWT dan akhirilah dengan membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Doa tanpa memuji Allah SWT, tasbih dan selawat ke atas Nabi dikira gopoh dan tidak cukup sopan.
5.  Lontarkanlah suara kita antara suara terdengar dan suara yang agak perlahan.
6.  Harus yakin bahawa doa kita akan diperkenankanNya, jangan sekali-kali meragui kekuasaan Allah melayani permintaan hamba-hambaNya. Aamiin Allahumma Aamiin…
7.  Ulanglah doa kita berkali-kali dan bersungguh-sungguhlah dalam memintanya. Hendaklah dilakukan dengan penghadiran hati, rendah diri dan menjiwai kebesaran Allah SWT. SubhanAllah Alhamdulillah Allahuakbar!
Moga-moga dengan mengikuti langkah-langkah ini, segala kata-kata, perlakuan dan tindakan kita semua dirahmati dan diredhaiNya. Aamiin… =)
SEBAB-SEBAB DOA SESEORANG TIDAK DIMAKBULKAN
Seterusnya kita masuk pula kepada sebab-sebab doa tidak dimakbulkan. Agak-agaknya kan, kenapa ye? Baiklah, secara ringkasnya yang dapat saya justifikasikan di sini, antara sebab-sebab doa seseorang tidak dimakbulkan adalah:
1.  Mereka berdoa dengan cara yang tidak pernah diajarkan oleh Allah SWT dan rasulNya. Maksudnya seseorang itu tidak mengikuti “cara-cara berdoa” yang telah saya tuliskan di atas.
2.  Selalu makan dan minum barang yang sudah pasti daripada sumber yang haram. Na’uzubillahi min dzalik. Bukankah Rasulullah SAW pernah menasihati Saad ibn Abu Waqqas yang bertanya tentang rahsia mustajab doa? Kata Baginda SAW yang bermaksud pilihlah barang-barang yang halal untuk dimakan dan digunakan, makanan yang haram hanya mendekatkan seseorang kepada api neraka.
3.  Mengenali Allah SWT, tetapi tidak pernah menunaikan hakNya. Antara hak Allah SWT yang perlu kita tunaikan adalah beribadat kepadaNya. Ibadat itu juga sebagai tanda kita bersyukur dan berterima kasih atas nikmat pemberianNya yang tidak terhingga kepada kita.
4.  Mengaku diri umat Nabi Muhammad SAW, tetapi tidak pernah mengamalkan sunnah Baginda SAW. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud barangsiapa yang tidak mengikut sunnah Baginda SAW bukanlah termasuk dalam golongan Baginda.
5.  Mengenali Al-Qur’an, tetapi tidak pernah melaksanakan isi kandungannya. Antara ciri-ciri orang munafiq adalah membaca Al-Qur’an, tetapi tidak mengamalkan hukum-hukum yang terkandung di dalamnya.
Inilah sedikit-sebanyak sebab mengapa doa seseorang itu tidak dimakbulkan oleh Allah SWT. Tetapi ini tidak bermakna jikalau doa kita tidak dimakbulkanNya bermaksud kita tergolong dalam golongan di atas. Mungkin saja doa kita tidak dikabulkanNya kerana Dia lebih memahami apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya atau mungkin saja doa kita belum dikabulkanNya kerana waktunya belum tiba lagi.
Saat itu, janganlah bersedih kerana Allah SWT rindu mendengarkan suara hamba-hambaNya yang beriman untuk terus meminta daripadaNya. Teruskanlah berdoa dan percayalah kepada janjiNya. =)
TEMPAT DAN WAKTU YANG TERBAIK UNTUK BERDOA
Pemilihan tempat dan waktu yang terbaik untuk berdoa juga penting dalam memastikan sampainya doa kita kepada Dia Yang Maha Kuasa.
Tempat:
1.  Ketika kita melihat Kaabah.
2.  Ketika kita melihat masjid Rasulullah SAW.
3.  Ketika berada di depan Kaabah.
4.  Ketika kita berada di Raudah (Masjid Nabi).
5.  Di belakang makam Nabi Ibrahim a.s.
6.  Di sisi perigi zamzam.
7.  Di atas Bukit Safa dan Marwah.
8.  Di padang Arafah.
9.  Di Muzdalifah.
10. Di Mina.
11. Di sisi jumrah yang ketiga.
12. Di masjid-masjid.
13. Di surau-surau.
Bagi kita yang berada di Malaysia sekarang ini, cukuplah kalau kita dapat berdoa di masjid-masjid dan di surau-surau. Justeru, rajinkanlah langkahan kaki ke masjid atau surau, luangkanlah sedikit masa ke rumah-rumah Allah SWT. =)
Masa:
1.  Ketika menuju ke medan perang.
2.  Dalam pertempuran di medan perang.
3.  Ketika hujan.
4.  Sesudah berwudhu’.
5.  Selepas azan (antara azan dan iqamah).
6.  Sewaktu sujud.
7.  Di akhir surah Al-Fatihah.
8.  Sesudah membaca Al-Qur’an dan sesudah selesai menunaikan solat fardhu lima waktu.
9.  Di tengah malam.
10. Di sepertiga malam yang pertama dan terakhir bulan Ramadhan.
11. Pada bulan Ramadhan.
12. Malam Lailatulqadar.
13. Pada hari Jumaat.
Setuju tak kalau saya cakap masa yang paling afdhal ialah di sepertiga malam yang terakhir? Sebabnya, fikir-fikirkanlah ye… =)
Inilah waktu-waktu yang mustajab untuk berdoa, tetapi anda semua boleh sahaja meminta doa pada setiap waktu dan ketika. Jadi, sentiasalah berdoa~
ORANG YANG MAKBUL DOANYA
Mesti anda semua ingin mengetahui siapakah orang yang mudah dimakbulkan doanya kan? Antara golongan yang doanya mudah dimakbulkan adalah:
1.  Doa seorang pemimpin yang adil.
2.  Doa orang yang sedang berpuasa.
3.  Doa orang yang dizalimi.
4.  Doa seorang muslim untuk saudaranya.
5.  Doa seorang anak untuk kedua-dua orang ibu bapanya.
6.  Doa orang tua kepada anaknya.
KESIMPULAN
Semoga semua yang saya kongsikan ini bermanfaat buat anda semua. Sama-samalah kita berdoa untuk ibu bapa kita, adik-beradik kita, kawan-kawan kita, penyarah-pensyarah kita, guru-guru kita dan semua muslimin dan muslimat. InsyaAllah doa kita akan diangkat olehNya.
Akhir kata, semoga di hari ini dan di hari-hari mendatang, kita akan sentiasa diberkati dan dirahmatiNya. =) Aamiin ya robbal ‘aalamiin.
“Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.” (Al-Mu’min: 60)

Ulasan



Catatan Popular