Kemahiran Mendidik Anak-anak Perlu Sentiasa Dipertingkat

Dalam zaman serba moden kini, pelbagai masalah sosial menghambat kehidupan anak-anak muda kita. Mereka mudah terjebak dalam pelbagai masalah seperti seks bebas hingga membawa kepada pembuangan bayi, merempit yang membawa kepada kematian dan kecederaan, ponteng sekolah hingga terjebak dalam pelbagai jenayah lain termasuklah ketagihan dadah, arak dan gam. Apa yang dipaparkan ini cuma sebahagian daripada masalahnya. Hakikatnya, senarai masalah itu terlalu panjang jika ingin dimuatkan dalam penulisan ini.
Dengan berlakunya pelbagai masalah ini, masyarakat menunjukkan tindak balas yang berbeza-beza. Pada masa yang sama, jari-jari mula digerakkan ke pelbagai arah, mencari siapa yang salah. Antara pelbagai arah itu, institusi sekolah merupakan satu arah yang tidak mungkin tercicir. Kerap kali kita mendengar cadangan agar subjek “itu” dan “ini” diperkenalkan di sekolah demi menangani masalah kegersangan ilmu anak-anak muda masa kini.
Jika tidak percaya, bacalah di mana-mana. Bila ramai yang membuang bayi, maka dicadangkan sekolah memulakan pendidikan seks kepada pelajar. Bila ada masalah berkaitan kesedaran alam sekitar yang rendah maka dicadangkan pendidikan alam sekitar diajar di sekolah. Bila wujud isu kepenggunaan, maka sekali lagi dicadangkan agar pendidikan kepenggunaan diajar kepada pelajar. Dengan itu, jika sekolah ialah tempat mengajar atau mendidik tentang segala-galanya maka persoalannya, di manakah tanggungjawab ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka?
Dalam satu pepatah Arab ada ungkapan yang berbunyi al-Ummu al-madrasah yang membawa maksud “ibu adalah sekolah.” Pepatah yang pendek dan serba ringkas ini dengan jelas menunjukkan bahawa ibu mempunyai tanggung jawab awal mendidik anaknya. Walaupun pepatah ini menyebut tentang ibu, namun secara bijaknya dapat kita fahami bahawa pepatah ini tidak sekali-kali menyisihkan peranan bapa. Oleh itu, dalam soal memberi didikan, ibu bapalah yang seharusnya memikul tanggungjawab itu. Pendidikan yang dimaksudkan ialah pendidikan yang menyeluruh. Dengan itu, sama ada pendidikan seks, pendidikan alam sekitar mahupun pendidikan kepenggunaan, maka ibu bapalah yang harus mengajarkannya.
Sewajarnya, ibu bapa tidak memindahkan tanggungjawab mendidik anak-anak kepada sekolah semata-mata. Sekolah sepatutnya menjadi tempat untuk mengukuhkan pengetahuan anak-anak. Tetapi, ibu bapalah yang seharusnya memberi ilmu pengetahuan asas kepada anak-anak mereka. Berkaitan dengan peningkatan masalah anak muda masa kini, tidak salah jika dikatakan bahawa ibu bapa kini telah gagal mendidik anak mereka secara menyeluruh termasuklah mendidik tentang soal seks, soal kepenggunaan mahupun alam sekitar. Malah, kemungkinan besar pendidikan asas yang wajib iaitu pendidikan akidah dan akhlak juga gagal ibu bapa kukuhkan dalam jiwa anak-anak.ibubapa5cd Kemahiran Mendidik Anak anak Perlu Sentiasa Dipertingkat
Dalam sebuah hadis, disebutkan bahawa: “Setiap anak dilahirkan secara fitrah, kedua-dua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Dengan jelas, hadis ini menunjukkan bahawa ibu bapa mempunyai peranan yang besar dalam pendidikan anak-anak dan pembentukan diri yang mulia. Untuk itu, ibu bapa zaman ini mesti bersedia untuk menurunkan ilmu di dada mereka kepada anak-anak. Bermula dengan ilmu akidah dan akhlak yang baik sehinggalah kepada mendidik mereka tentang hal-hal dunia seperti perbezaan fisiologi badan lelaki-wanita, hubungan lelaki-wanita, penjagaan alam sekitar, menjadi pengguna bijak dan sebagainya.
Dalam keadaan ini, ibu bapa tidak boleh menyatakan bahawa mereka tidak mengetahui ilmu yang disebutkan di atas. Jika tidak menjadi pakar, sekurang-kurangnya mereka patut mempunyai asas dalam ilmu yang disebutkan tadi. Apatah lagi jika bercakap tentang pendidikan akidah dan akhlak. Jika ibu bapa “tempang” dalam hal ini, maka tidak hairanlah anak-anak muda kini juga hidup dalam “ketempangan.” Begitu juga dengan pendidikan seks, alam sekitar dan kepenggunaan. Sekurang-kurangnya ibu bapa mesti mempunyai asas dalam subjek-subjek tersebut dan kemudian menyampaikan atau mendidik anak-anak mereka tentangnya.
Selain mempunyai pengetahuan, satu perkara lagi yang juga tidak kurang pentingnya ialah kemahiran menyampaikan pengetahuan itu. Kadang kala, ibu bapa sememangnya mempunyai pengetahuan tetapi tidak mempunyai kemahiran untuk menyampaikannya. Mereka tidak tahu bagaimana untuk menyampaikan apa yang telah mereka pelajari kepada anak-anak. Terutamanya dalam pendidikan seks. Mereka gusar tentang kaedah terbaik dalam menyampaikan ilmu ini secara berkesan. Ditambah pula dengan kekangan budaya orang Timur yang begitu malu atau segan berbicara tentang subjek ini. Lagipun, ibu bapa dahulu tidak diajar tentang pendidikan seks di sekolah maka pastinya kini mereka kelam kabut untuk mendidik anak dalam subjek yang sama. Bagi mengatasai masalah ini, ibu bapa perlu mempersiapkan diri untuk memperoleh kemahiran menyampaikan sesuatu ilmu kepada anak-anak.
Berkaitan dengan persiapan ibu bapa untuk mendapatkan kemahiran menyampaikan ilmu, timbul pula persoalan lain iaitu wujudkah peluang untuk memperoleh kemahiran tersebut? Kita sedia maklum tentang kursus pra-perkahwinan namun kursus pasca-perkahwinan agak janggal didengar. Kursus pasca-perkahwinan sememangnya ada ditawarkan kepada para pasangan yang sudah berumah tangga. Sebagai contoh, yang disediakan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Kursus-kursus sebegini tidaklah wajib sifatnya. Terpulanglah kepada mana-mana pasangan ibu bapa untuk menyertai atau tidak. Oleh itu, ibu bapa wajar mengambil peluang untuk menyertai kursus-kursus sebegini bagi meningkatkan kemahiran mendidik atau menyampaikan pengetahuan kepada anak-anak.
Sebagai kesimpulan, tanggungjawab ibu bapa adalah memberi pendidikan menyeluruh kepada anak-anaknya. Hal ini harus bermula daripada mengenal Pencipta sehinggalah kepada mengenal dunia persekitaran si anak. Sejak mula merancang untuk memiliki keluarga lagi, cara pemikiran pasangan lelaki dan wanita harus berubah dengan memberi tumpuan kepada memikirkan serta merancang kehidupan zuriat yang bakal dilahirkan. Ini termasuklah dalam soal pendidikan mereka. Tanggungjawab mendidik ini tidak boleh diberikan kepada orang lain. Sebagai ibu dan bapa, merekalah yang sewajarnya menyampaikan pendidikan asas kepada anak-anak.
Lanjutan dari itu juga, peluang-peluang untuk menambahkan ilmu dan kemahiran mendidik anak haruslah wujud. Ini bermakna, tumpuan peluang itu tidak seharusnya di kawasan bandar semata-mata tetapi turut meliputi kawasan luar bandar. Bagi kawasan bandar, peluang ini agak banyak dan mudah didapati tetapi bagi kawasan luar bandar, pendekatan lain perlu digunakan. Dalam hal ini, peranan pendidikan dalam komuniti amat digalakkan. Untuk melaksanakan pendidikan dalam komuniti ini, peranan masjid dan jawatankuasa kampung perlu digiatkan lagi. Demi menjayakan rancangan ini, sokongan pihak lain seperti agensi-agensi kerajaan dan negeri termasuklah pertubuhan bukan kerajaan amatlah dialu-alukan.
Soal pendidikan anak-anak ini sentiasa menjadi satu cabaran kepada ibu bapa. Cabaran ini pula sentiasa berbeza-beza dari satu zaman ke satu zaman yang lain. Kemungkinan besar cara ibu bapa zaman dahulu mendidik anak-anak mereka perlu diubahsuai agar selari dengan perkembangan zaman. Ini tidak bermakna kaedah lama itu salah namun tiada ruginya ibu bapa kini mempelajari ilmu moden dalam mendidik anak. Berkaitan dengan ini, nasihat Sayidina Umar al-Khattab mungkin boleh dijadikan panduan. Kata Sayidina Umar: “Didiklah anak-anakmu itu berlainan dengan keadaan kamu sekarang kerana mereka telah dijadikan Tuhan untuk zaman yang bukan zamanmu.” Jelas, usaha meningkatkan kemahiran mendidik anak sentiasa penting dan menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mencari ilmu dan kemahiran te

Ulasan



Catatan Popular