IbU AinUl,ALiF &Aisy

Parenting,Lifestye,Review,Contest & Giveaway EMAIL:adna2029@gmail.com

Latest Post
Loading...
Copy Close

Bismillahirrahmanirrahim / بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم‬ ...

fakta tentang ubat-ubatan..

TERINGAT ketika kecil dulu, ayah meletakkan peti kayu kecil dengan pintu kaca berukuran satu kaki lebar dan panjang yang dipaku ke dinding ruang rehat keluarga. Dalam peti kecil inilah ibu dan ayah menyimpan ubat yang hanya beberapa jenis saja termasuk cecair iodin, ubat batuk, paracetamol, balsam, krim luka, kapas dan kain anduh.
Walaupun ia mudah dicapai (kerana kedudukannya di tepi tangga) tetapi ayah tegas mengingatkan barang dalam peti berkenaan hanya boleh diambil apabila perlu dan hukuman rotan menanti kami adik-beradik jika ada yang berani menyalahgunakannya.
Meskipun peti atau kabinet ubat sangat penting tetapi kini ia tidak menjadi keutamaan, malah ada keluarga yang tidak mempunyai ruang khas untuk menyimpan ubat.

Mungkin ada juga yang membuat kabinet ubat seperti di rumah Barat iaitu dalam bilik air. Walaupun nampak kemas dan praktikal tetapi sebenarnya ia adalah tempat paling teruk untuk menyimpan ubat kerana suasana bilik air yang lembap dan hangat akan mempercepatkan kemusnahan atau kerosakan bahan aktif dalam ubat.
Foto 
AWAS...pastikan kabinet ubat jauh daripada jangkauan kanak-kanak.

Keadaan ini sangat mudah berlaku terutama pada ubat dalam bentuk pil dan kapsul. Pendedahan kepada haba dan kelembapan akan membuatkan ubat menjadi kurang berkesan sebelum tarikh luputnya. Malah ia mungkin mengubah komposisi kimia bahan aktif dalam ubat itu kepada bahan lain yang boleh menjejaskan kesihatan.

Pengarah Hal Ehwal Profesional, Persatuan Farmasi Negara New York, Selig Corman, memberi contoh ubat lazim ada di kebanyakan rumah seperti aspirin yang bahan aktifnya mungkin berubah menjadi asid asetik (cuka) dan asid salisilik yang boleh merengsakan perut jika ia terdedah kepada persekitaran lembap dan hangat.

Di Malaysia mungkin sedikit berbeza kerana kebanyakan ibu bapa terutama yang mempunyai anak kecil, menyimpan ubat anak (biasanya ubat untuk merawat demam) di pintu peti sejuk supaya ‘tahan’ lebih lama. Lebih memburukkan keadaan, semua ubat cecair di masukkan ke dalam botol yang sama bentuk dan saiznya.

Apa yang membezakan ialah warna cecair dan catatan tarikh pada label botolnya. Itupun jika ia masih boleh dibaca kerana ada tulisan pada label sering kali ‘terpadam’ dek ubat yang meleleh di atasnya. Bahkan, bukan semua ubat sesuai disimpan dalam peti sejuk.

Jadi timbul persoalan, di mana tempat paling sesuai untuk menyimpan ubat? Ini kerana selain dalam peti sejuk, kebanyakan orang meletakkan kotak ubat di dapur bagi memudahkan mereka mengambil ubat setiap hari dan tidak perlu berjalan jauh untuk mengambil air minuman.

Pakar perubatan sependapat mengatakan tempat paling baik untuk menyimpan ubat ada beberapa ciri iaitu sejuk, kering, dalam bekas kedap udara, selamat dan jauh daripada jangkauan kanak-kanak. Sejuk yang dimaksudkan di sini ialah suhu bilik iaitu 25 hingga 27 darjah Celsius kecuali ada arahan mengatakan satu-satu ubat itu perlu disimpan pada suhu tertentu.


Arahan pada label

Pengurus Farmasi Hospital Assunta, Kwan Yee Man, pernah menasihatkan supaya kaedah penyimpanan ubat dilakukan dengan teliti seperti yang diarahkan pengeluarnya. Jika tidak pasti, sila rujuk pada label bungkusan ubat.

Di situ ada dicatatkan kaedah penyimpanan untuk panduan. Sekiranya masih kurang faham, dapatkan maklumat ini daripada ahli farmasi di klinik, hospital mahupun di kedai farmasi ketika menerima ubat anda.

Perkara pertama yang perlu diketahui ialah setiap ubat mempunyai keperluan penyimpanan yang berbeza. Ini kerana sesetengah ubat menjadi kurang berkesan apabila ia terdedah kepada udara, kelembapan, suhu sejuk, suhu panas atau cahaya.

Selain itu, kita juga perlu memahami makna arahan penyimpanan pada label kotak atau botol ubat seperti:


  • Dingin beku - Simpan dalam suhu terkawal antara -20 hingga -10 darjah Celsius.
  • Peti sejuk - Simpan dalam suhu terkawal antara dua hingga lapan darjah Celsius.
  • Tempat sejuk - Suhu di antara lapan hingga 15 darjah Celsius.
  • Suhu bilik - Suhu antara 15 hingga 30 darjah Celsius.


    Tempat yang hangat bermakna suhu persekitaran antara 30 hingga 40 darjah Celsius manakala suasana panas pula bermakna suhunya melebihi 40 darjah celsius. Setiap ubat perlu disimpan pada suhu dua darjah Celsius lebih rendah daripada yang disarankan pengeluar.

    Secara umumnya ubat boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu:
  • Ubat yang perlu disimpan dalam peti sejuk.
  • Ubat yang perlu disimpan pada suhu bilik.


    Menurutnya, ramai orang tidak tahu bahawa peti sejuk bukanlah tempat yang sesuai bagi kebanyakan jenis ubat walaupun arahan pada label botol atau kotak mengatakan supaya ia diletakkan di tempat bersuhu rendah.

    Kita dilarang meletakkan ubat yang boleh disimpan pada suhu bilik (pil atau kapsul) di dalam peti sejuk. Kita mungkin beranggapan pada suhu yang rendah ubat berkenaan akan tahan lebih lama tetapi anggapan ini salah. Sebaliknya, tindakan itu boleh menyebabkan ubat berkenaan lebih cepat rosak.

    Ini kerana kelembapan yang tinggi dalam peti sejuk akan membuatkan ubat berkenaan menjadi lembap walaupun bungkusannya tidak dibuka. Apabila kita keluarkan ubat dari peti sejuk, perubahan suhu (sejuk ke panas) membuatkan persekitaran dalaman ubat meruap dan menjejaskan mutu ubat berkenaan.

    Jika ubat perlu disimpan dalam suhu rendah, tempat yang sepatutnya ialah di dalam peti sejuk, bukannya pada rak di pintu sejuk kerana suhu pada bahagian ini akan sentiasa terganggu (turun naik) setiap kali kita membukanya. Bahkan, jika kita mempunyai anak yang kerap membuka peti sejuk, mutu ubat lebih cepat terjejas.

    Bagi yang mempunyai anak kecil, anda boleh menyimpan ubat sirap atau cecair termasuk ubat batuk di dalam peti sejuk selama enam bulan walaupun sepatutnya satu botol kecil itu hanyalah untuk sekali penggunaan. Buanglah ubat yang tidak habis dimakan jika ia sudah melebihi enam bulan.

    Untuk ubat cecair atau sirap yang disimpan dalam peti sejuk, goncang botolnya dulu sebelum digunakan kerana dalam suhu yang rendah, kandungan ubat akan mendap. Pastikan ubat ini tidak menjadi beku. Ingat, jangan sekali-kali simpan ubat dalam bahagian dingin beku.

    Ubat suntik seperti insulin, perlu disimpan dalam peti sejuk kerana ia sangat mudah rosak dengan perubahan cuaca yang keterlaluan. Kalau ia beku, ia juga boleh rosak. Malah tindakan memanaskan ubat juga kadangkala boleh memusnahkan bahan aktifnya jika terlebih panas.

    Selain itu, kabinet dapur juga bukanlah tempat yang sesuai untuk menyimpan ubat kerana di sini suhu dan kelembapannya lebih tinggi. Tempat disarankan ialah ruang makan - yang lebih sejuk, terlindung daripada pancaran matahari terik dan kering. Jadi carilah sudut yang boleh anda gunakan untuk meletakkan ubat. Jika kreatif, kabinet ubat boleh menjadi sebahagian daripada hiasan.



    Panduan

    Pensyarah Universiti Pusat Sains Kesihatan Texas di Houston, Dr Grant Fowler, dalam berita yang disiarkan agensi ABC News, memberi beberapa panduan untuk membawa ubat terutama bagi mereka yang merancang perjalanan jauh. Antaranya ialah:
  • Jangan meletakkan ubat di tempat meletakkan barang kerana suhunya sangat panas. Sebaliknya, letakkan ubat di bahagian tempat duduk dan bawa ubat berkenaan apabila anda masuk ke rumah atau bangunan.
  • Jika menaiki kapal terbang, jangan daftar masuk ubat (bersama bagasi). Sebaiknya masukkan ubat dalam bekas khas dalam beg sandang.
  • Senaraikan semua ubat yang anda perlu ketika berkemas. Bawa lebih bekalan ubat untuk kecemasan.


    Selain itu ada beberapa panduan umum untuk penyimpanan ubat yang selamat iaitu:
  • Sentiasa baca dan fahami arahan penyimpanan ubat pada label.
  • Biarkan ubat dalam bekas asalnya. Jika ia didatangkan dalam bekas berpelekat (seperti ubat paracetamol) jangan ubah ke dalam botol kerana ia menandakan ubat berkenaan perlu disimpan dalam persekitaran yang sejuk dan kering. Menyimpannya dalam botol boleh mengurangkan keberkesanan ubat kerana ia terdedah kepada kelembapan dan udara.
  • Jangan menyimpan beberapa jenis ubat dalam satu bekas.
  • Jangan simpan ubat dalam beberapa jenis ubat dalam beg plastik. Ubat berkenaan boleh pecah dan mengurang­kan kesannya.
  • Sentiasa simpan ubat di tempat yang kering dan sejuk serta jauh daripada cahaya matahari.
  • Elak meletakkan kotak ubat di tempat yang mempunyai suhu terlalu sejuk (kecuali jika diarahkan berbuat demikian seperti dalam peti sejuk. Anda juga perlu pastikan sama ada ia perlu disimpan di tempat dingin beku atau sejuk).
  • Jangan simpan ubat di tempat panas (termasuk dalam kereta) kerana suhu yang terlalu panas boleh memusnahkan bahan aktif dalam ubat.
  • Untuk mengelakkan berlaku keracunan ubat atau sebarang masalah yang tidak diingini, pastikan ubat anda disimpan jauh daripada jangkauan anak-anak. Ubat orang dewasa boleh menjadi racun kepada kanak-kanak kecil.
  • Sebagai perlindungan, kebanyakan botol ubat didatangkan dengan penutup yang sukar dibuka kanak-kanak, namun ia bukan jaminan ia selamat sepenuhnya apabila sampai di tangan si kecil.
  • Jangan biarkan putik kapas yang anda gunakan untuk menyapu ubat dalam botol. Ia boleh menarik kelembapan luar masuk ke dalam bekas ubat anda.
  • Periksa tarikh luput ubat setiap kali sebelum memakannya. Buang ubat yang sudah luput tarikh.
  • Jangan sekali-kali me­ngambil ubat yang sudah berubah warna, tekstur dan bau walaupun ia belum luput tarikh. Perubahan ini menandakan ubat berkenaan sudah rosak. Buang juga ubat kapsul yang melekat sesama sendiri, menjadi keras atau lebih lembut daripada biasa atau ada kesan retak.


    Perkara yang perlu kita tahu mengenai luput tarikh:

    Jangka hayat ubat yang selamat dimakan dan berkesan berbeza mengikut jenis, pe­ngeluar dan cara simpanan. Sesetengah jenis ubat hanya bertahan beberapa hari tetapi ada yang boleh disimpan sehingga beberapa tahun lamanya. Tidak kira berapa lama pun jangka hayatnya, anda perlu memastikan tarikh luputnya sebelum makan.


    Buang ubat dalam simpanan anda jika ia:
  • Pil atau kapsul yang disimpan lebih dari dua tahun yang berubah warna, retak atau berdebu.
  • Krim atau balsam menjadi keras dan hilang warna.
  • Ubat cecair menjadi pekat dan berubah warnanya.
  • Ubat kapsul menjadi lembut berbanding asal, melekat sesama sendiri atau retak.
  • Ubat titis mata yang sudah dibuka melebihi 28 hari.
  • Semua ubat yang sudah luput tarikh.
  • Bagikan :
    +
    Previous
    Next Post »
    1 Komentar untuk "fakta tentang ubat-ubatan.."

    terima kasih maklumatnya. kadang-kadang selalu terlepas pandanf cara simpan ubat-ubat ni...

    ,")..Terima Kasih kerana sudi utk memberi sepatah dua kata dekat ana yer...
    Terbuka renda tertanggal butang,
    Kebaya AcIk Ana butang selari;
    Jika tiada aral melintang,
    Sila LA Lagi DATANG kemari.('',

     
    Template By Kunci Dunia
    Back To Top