Panduan Pemakanan Ibu Mengandung
Semasa mengandung, anda bukan sahaja  perlu meningkatkan jumlah pemakanan anda, tetapi yang lebih penting  ialah apa yang anda makan. Kebiasaannya, wanita mengandung memerlukan  penambahan 300 kalori/hari daripada biasa terutamanya semasa trimester  terakhir di mana bayi membesar dengan pantas. Penambahan 300 kalori  sehari tersebut penting diperolehi daripada makanan yang berkhasiat  supaya ia boleh menyumbang kepada pembentukan dan perkembangan bayi.
Mengapa pemakanan sihat penting  semasa mengandung
Pernahkah anda terfikir mengapa berat  badan anda bertambah 10-15 kg (secara purata) semasa anda mengandung  sedangkan berat bayi yang baru lahir hanya ¼ daripada itu? Walau pun  ianya berbeza bagi setiap individu wanita yang mengandung, faktor-faktor  di bawah menyumbang kepada pertambahan berat badan:
- Berat bayi : 2.5 - 3 kg
- Penyimpanan protein, lemak dan nutrien lain yang berlebihan : 2.75 - 3 kg
- Penambahan darah : 1.5 – 2 kg
- Penambahan cecair badan yang lain : 1.5 - 2kg
- Pembesaran payudara : 0.75 – 1 kg
- Pembesaran uterus (rahim) : 0.75 – 1 kg
- Cecair amniotik (air ketuban) : 0.75 – 1 kg
- Plasenta (uri) : 0.5 – 0.75 kg
Selain daripada penambahan berat bayi,  faktor-faktor lain juga penting untuk memastikan fisiologi ibu berubah  mengikut keperluan ibu mengandung. Corak penambahan berat semasa  mengandung bagi individu juga berbeza. Jika anda mula mengandung semasa  berat badan berlebihan, berat anda mungkin akan turun sedikit pada awal  trimester manakala penambahan akan berlaku bagi ibu yang kurus atau  mengandung anak kembar.
Makanan semasa mengandung
Semasa mengandung, apa sahaja yang anda  makan dan minum merupakan sumber utama nutrien bagi bayi anda. Pemakanan  anda berkait rapat dengan kesihatan bayi sehinggakan kebanyakan doktor  menasihatkan supaya tidak mengambil sebarang risiko dengan makan makanan  yang berkemungkinan memudaratkan bayi seperti alkohol.
Sama ada anda mengandung atau tidak,  diet yang sihat merangkumi protein, karbohidrat, lemak, vitamin, mineral  dan air yang mencukupi. Jika anda mengamalkan pemakanan mengikut sistem  piramid makanan, ini menunjukkan yang anda berpotensi untuk menjadi  individu yang sihat.
Penting bagi ibu mengandung untuk  memvariasikan makanannya bagi memperoleh semua keperluan nutrisi ibu dan  bayi. Makanan yang perlu dimakan semasa mengandung ialah:
- Buah-buahan dan sayur-sayuran – target untuk makan 5 hidangan sehari termasuk sebagai snek, jus dan salad.
- Makanan berkanji – roti, nasi, pasta, ubi kentang. Banyakkan bijirin penuh (wheat, whole grain)
- Makanan berprotein tinggi – Daging, ayam, ikan, telur, kekacang (soya). Banyakkan makan ikan sekurang-kurangnya 2 kali seminggu.
- Makanan berkalsium tinggi – Susu, yoghurt, cheese.
- Makanan berserat tinggi – Jadikan sayur, buah, bijirin dan kekacang sebagai makanan kegemaran kerana ia boleh mengelakkan sembelit.
 Piramid Makanan
Minum banyak air dan elakkan makanan  berlemak dan bergula tinggi seperti kek dan coklat kerana ia  mengakibatkan pertambahan berat badan berlebihan dan seterusnya  meniggikan risiko mendapat kencing manis (gestational diabetes mellitus)
Jika anda sukakan snek, ambil raisin,  biskut bijirin penuh (Jacob’s atau IKO), salad buah, yoghurt atau  sebarang makanan bernutrisi yang lain.
Perkara yang perlu diambil berat  semasa membeli makanan
Makanan basah seperti ikan, ayam dan  daging harus dibeli segar dan dijamin kebersihannya. Pastikan  sayur-sayuran dan buah juga segar dan tidak mengandungi pestisid  (kebiasaannya, sayur berlubang dimakan ulat atau serangga tiada  pestisid). Bagi makanan yang dibungkus atau dalam tin, baca label  makanan yang menunjukkan kandungan nutrisi dan kalori makanan tersebut.  Terdapat juga label makanan yang memberikan cadangan hidangan yang  bersesuaian bagi diet seharian. Apabila anda mengandung, cadangan  hidangan bersesuaian juga sebenarnya bertambah seiring dengan keperluan  untuk penambahan kalori. Periksa label makanan sebelum membelinya supaya  makanan tersebut dapat dipastikan:
- HALAL kerana makanan akan menjadi darah daging anda dan bayi
- Berkhasiat untuk kesihatan anda dan bayi
Perhatikan juga tarikh lupus (expiry  date) makanan dan pastikan pembungkus / tin makanan dalam keadaan  sempurna (tiada kebocoran, tercemar, kemek). Walau pun nampak remeh,  tetapi ia sebenarnya penting kerana makanan yang tercemar atau sudah  lupus tarikhnya boleh menyebabkan anda keracunan makanan sekaligus boleh  memudaratkan kesihatan bayi anda.
Bagaimana anda tahu yang  pemakanan anda sihat semasa mengandung
Kunci utamanya ialah dengan  mempelbagaikan pengambilan makanan dalam kumpulan yang berbeza-beza  (seperti yang dicadangkan di atas) dengan jumlah yang mencukupi. Jangan  risau jika anda mengalami alahan yang teruk dan tiada selera makan pada  trimester pertama. Keadaan ini tidak akan memberikan impak yang besar  kepada bayi anda kerana bayi akan mendapat nutrisi terdahulu daripada  anda sebaik sahaja anda makan. Bagi yang mengalami alahan yang mencapai  trimester kedua sehingga bersalin, pastikan anda tetap makan makanan  berkhasiat- biar sedikit tetapi kerap. Walau pun penambahan berat badan  ideal semasa mengandung yang dicadangkan ialah 10-15 kg (kebiasaannya  1.5 – 2.5 kg pada trimester pertama dan 0.25 - 0.5 kg / minggu pada  trimester ke -2 dan 3), jangan hadkan diri anda. Sebaliknya, fokus pada  pemakanan yang sihat dan seimbang untuk memastikan anda dan bayi sihat.

Ulasan
Catat Ulasan
,")..Terima Kasih kerana sudi utk memberi sepatah dua kata dekat ana yer...
Terbuka renda tertanggal butang,
Kebaya AcIk Ana butang selari;
Jika tiada aral melintang,
Sila LA Lagi DATANG kemari.('',