Pantang Larang Semasa Mengandung


Tempoh pantang memang suatu jangkamasa yang membosankan. Banyak perkara-perkara yang sebelum ini menjadi kebiasaan terpaksa ditinggalkan dan pada masa yang sama amalan-amalan baru terpaksa diikuti kerana bimbang akan menjadi bentan dan sebagainya.

Karenah sewaktu hamil juga kadangkala boleh mememningkan kepala. Kerap yang berlaku adalah mengidam. Dalam keadaan ini, ahli keluarga yang terdekat akan menjadi "mangsa" dan biasanya si suamilah. Seboleh-bolehnya suami perlu memahami keadaan isteri dan bersedia mendapat apa yang dihajati selagi ia tidak melanggar syariat agama.

Mengidam berlaku kerana perubahan hormon pada awal waktu mengandung., menjadikan selera ibu menurun. Jadi pada ketika ini, ibu akan teringin untuk makan apa yang terlintas dibenaknya. Mengidam juga dikaitkan dengan nafsu. Adakalanya apa yang diidamkan itu bersalahan dengan syariat dan keterlaluan, maka di sini ibu perlu banyak bersabar. Anggaplah ini merupakan ujian Allah s.w.t kepada hambaNya yang akan bergelar seorang ibu. Ibu-ibu perlulah bersabar, jangan terlalu mengikut nafsu.

Tabiat terlalu mengikut hati ini akan memberi kesan kepada anak-anak apabila dilahirkan kelak. Ibu yang sabar dan tabah akan melahirkan zuriat yang tingi jatidirinya. Manakala sikap ibu yang terlalu "memanjakan" diri dikhuatiri kelak anaknya menjadi "spoil".

Dalam membicarakan tentang pantang larang dan adat istiadat sewaktu mengandung ini, terdapat beberapa amalan yang masih dipraktikkan walaupun sudah tidak banyak seperti dahulu. Sebagai contohnya seperti adat melenggang perut untuk mengetahui jantina bayi. Buah kelapa akan diletakkan di atas perut ibu, dan selepas itu kelapa itu dibiarkan jatuh. Sekiranya jatuh ke kiri ibu itu dikatakan akan melahirkan anak lelaki dan sekiranya jatuh ke kanan akan melahirkan anak perempuan.

Dalam masyarakat Melayu terdapat beberapa pantang larang yang masih lagi menjadi ikutan. Wanita-wanita hamil dilarang dari melakukan perkara-perkara berikut:

Dilarang mencaci atau mengumpat, membuat fitnah, iri hati juga bergaduh terutamanya dengan ibu mertua. Perbuatan tersebut dipercayai akan mempengaruhi perangai anak yang bakal lahir. Ibu mengandung juga akan mengalami kesulitan semasa melahirkan anak. Yang sebenarnya, tujuannya larangan di sini adalah untuk melahirkan rasa hormat kepada orang tua da selalunya ibu mertua turut menjaga dan membantu sewaktu dalam pantang.

Dilarang memaku, memahat dan menggali lubang. Tidak boleh memukul atau mencederakan binatang kerana dikhuatiri akan menyebabkan anak yang bakal lahir cacat anggota badan.

Dilarang keluar rumah pada waktu petang atau senja kerana dikhuatiri hantu akan menggusiknya.

Hendaklah menjauhi pergaulan dengan orang yang tidak jujur atau rendah maruahnya, kerana dipercayai ini akan mempengaruhi perangai anak yang bakal lahir.

Dilarang melihat gerhana bulan ataupun matahari kerana dikhuatiri anak yang bakal lahir akan cacat atau berkulit gelap.

Dilarang duduk di anak tangga kerana dipercayai perbuatan ini akan mendatangkan kecelakaan kepada ibu sewaktu hendak melahirkan anak.

Ibu juga dilarang memikul batu kerana dikhuatiri anak dalam kandungan menjadi lumpuh. Tidak boleh menanam pokok pisang kerana dikatakan perbuatan ini boleh menyebabkan anak berkepala besar yang luar biasa.

Ditegah menyusun tempurung kerana dikhuatiri anak yang dilahirkan akan botak kepalanya.

Ibu mengandung juga tidak boleh membiarkan anak-anak melangkah perut kerana dikhuatiri anak akan lahir cacat atau dilahirkan tidak cukup bulan. Dilarang tidur pada waktu tengah hari kerana dikhuatiri kepala anak yang bakal lahir akan menjadi besar.

Selain pantang larang yang dinyatakan di atas terdapat beberapa pantang larang lagi yang bersangkut dengan suami kepada ibu mengandung:

Suami kepada ibu mengandung pula dilarang meniup seruling atau alat bunyi bunyian kerana dikhuatiri anak yang akan dilahirkan sentiasa menangis.

Suami juga dilarang menyembelih ataupun pergi memburu binatang kerana dikhuatiri anak yang bakal lahir cacat anggota badannya.

Suami juga dilarang memukul, membunuh binatang seperti ular dan sebagainya kerana dipercayai anak yang lahir akan cacat atau kenan binatang tersebut.

Sejauhmana benar pantang larang ini. Namun apa yang penting di sini ialah sebagai bakal ibu dan ayah, manusia perlu senantiasa menjaga sikap dan tingkah laku, apatah lagi ketika hamil. Hanya kepada Allah s.w.t sahaja tempat hambanya meminta dan memohon agar tiada bala bencana ke atas kita sekeluarga InsyaAllah. Moga di anugerah anak yang comel lagi soleh.

Ulasan



Catatan Popular