56 Pantang Larang Nenek Moyang


 
1. Orang yang disebut- sebut namanya, tiba- tiba datang si empunya diri, orang yang disebut namanya itu dikatakan panjang umur.
2. Orang yang ramalannya benar belaka, dikatakan bermulut masin.
3. Kalau menanam buluh perindu di luar rumah, alamat akan selalu dirindui orang.
4. Salam rindu kepada seseorang boleh dihantar melalui angin jiring di luar tingkap.
5. Kalau bulu mata gugur ke pipi, maksudnya ada orang yang merindu.
6. Kalau bulu mata yang gugur ke pipi diletakkan di rambut kepala, rambut akan cepat memanjang.
7. Rambut juga akan cepat memanjang jika air batang pisang diperah ke rambut.
8. Kalau bersin bukan di tempat- tempat yang wajar, bukan pada waktu- waktu yang wajar, maksudnya sedang diperkatakan orang.
9. Kalau lidah tergigit, maksudnya sedang diumpat orang.
10. Pantang keturunan anak dara bangun lambat.
11. Pantang keturunan anak perempuan memotong/ memendekkan rambut.
12. Kalau perempuan melangkah- langkah makanan yang terhidang di lantai, lelaki yang akan makan hidangan itu akan akur patuh pada kata- kata perempuan itu.
13. Kalau anak perempuan cuai dalam membuat kerja- kerja rumah, sampai pinggan kaca pecah olehnya, sial akan melanda rumah itu.
14. Semasa bersanding, pengantin perempuan tidak boleh senyum, ketawa atau menjeling manja kepada pengantin lelaki. Ini adalah tanda jual mahal pihak perempuan.
15. Setiap orang di bumi ini ada 7 orang yang serupa muka. Jika sampai bertemu ketujuh- tujuh serupa wajah ini, dunia akan kiamat.
16. Selepas buang hajat, kemudian cebok, tangan kiri boleh ditekapkan ke mata, atau didekatkan ke mata. Dengan mengamalkannya, penyakit rabun, mata merah dan mata bengkak boleh sembuh.
17. Kalau kupu- kupu coklat masuk ke rumah, alamatnya akan didatangi tetamu.
18. Kalau tidur antara waktu asar dan maghrib, 40 hari dilakukan tabiat itu, alamat akan gila.
19. Perjalanan pergi ke tempat jauh terasa lebih panjang berbanding perjalanan pulang, kerana semasa pergi, setiap tumbuh- tumbuhan di sekeliling akan bertegur sapa dengan orang yang berpergian itu, dan bertanyakan tujuan.
20. Simbol janji terikat antara 2 orang adalah bila jari kelingking kita berkait dengan jari kelingking orang itu.
21. Simbol putus kawan adalah apabila kita memutuskan sambungan dua penghujung jari telunjuk kawan itu, dengan menggunakan jari telunjuk kita.
22. Untuk menyambung kembali persahabatan, dua jari telunjuk kawan yang terpisah itu perlu didekatkan/ disambung semula.
23. Orang yang mengigau, dan dalam igauannya dia menyebut- nyebut nombor, nombor itu adalah nombor bertuah bagi kaki judi.
24. Nombor plat kereta yang kemalangan adalah nombor bertuah bagi kaki judi. Semakin teruk kemalangan itu, semakin besar habuan nombor judi tersebut.
25. Kalau mengunyah sirih dan kapur, dan diletakkan di celah gigi semasa bercakap- cakap, orang akan senang hati dan akur dengan kata- katanya.
26. Kalau masak nasi dan nasi itu berkerak, jangan dulu dibuang keraknya, boleh ditambah air panas dan sedikit gula, lalu dimakan.
27. Kalau melintas di belakang atau di hadapan orang yang lebih tua, harus menundukkan badan dan sebelah tangan diluruskan ke bawah, sebelah lagi diletak di belakang, sebagai tanda hormat.
28. Cara duduk yang terbaik bagi wanita adalah bersimpuh, dan bagi lelaki ialah bersila.
29. Jangan selalu duduk- duduk di tangga depan rumah, nanti lambat kahwin.
30. Jangan menyapu lantai dengan menggunakan kain, nanti cepat jatuh miskin.
31. Jangan pijak, menduduki dan melangkah bantal, nanti berbisul di punggung.
32. Jangan meramas makanan dengan tangan, nanti makanan akan basi.
33. Jangan menyanyi di dapur, nanti bersuamikan orang tua.
34. Jangan makan di pinggan beralaskan pinggan.
35. Jangan menjilat piring sesudah makan.
36. Jangan mengetuk- ngetuk atau membunyi- bunyikan sudu dengan piring semasa makan.
37. Jangan menyuap lagi ke mulut yang sedang mengunyah makanan, siap dulu mengunyah dan menelan makanan, barulah menyuap lagi.
38. Jangan menghembus nafas ke dalam gelas semasa minum.
39. Jangan tengok cermin semasa guruh kilat, nanti sebelah wajah akan bertukar buruk.
40. Jangan menunjuk pelangi dengan jari telunjuk, nanti akan mendapat luka kecil.
41. Jangan membakar kulit bawang, nanti rezeki susah masuk ke rumah.
42. Jangan makan makanan yang masih dalam periuk.
43. Jangan meniup bilah peraut, nanti mata peraut akan tumpul.
44. Jangan tidur di tangga atau di tempat tersembunyi pada waktu maghrib, nanti akan disembunyikan oleh hantu tetek.
45. Jangan potong kuku pada waktu malam, nanti pendek umur.
46. Jangan sebut perkataan ‘garam’ semasa membeli garam pada waktu malam.
47. Jangan bertukar- tukar/ berpindah- pindah tempat duduk semasa makan, nanti banyak kali bertukar ganti suami.
48. Jangan menyampuk orang tua yang sedang bercerita.
49. Jangan membazir nasi, nanti tiap- tiap butir nasi itu akan menangis. Maksudnya orang itu akan susah mencari makan.
50. Jangan merenung bulan purnama, nanti jatuh sakit yang sukar diubati.
51. Jangan selalu meniarap, nanti ibunya mati cepat.
52. Jangan langkah orang yang sedang baring, apapu yang terjadi, usahakan supaya tidak dilangkah/ melangkah orang yang baring.
53. Jangan biarkan kaum wanita sahaja di rumah, sekurang- kurangnya seorang lelaki perlu ada di sebuah rumah, walaupun hanya seorang bayi lelaki.
54. Jangan menjahit baju yang sedang dipakai di badan, nanti semasa matinya pakaian susah ditanggalkan.
55. Jangan memberi/ menerima sesuatu dengan tangan kiri.
56. Jika bahu kiri ditepuk dari belakang, hendaklah menoleh ke kanan, dan jika bahu kanan yang ditepuk dari belakang, hendaklah menoleh ke kiri.


Kesemua 56 pantang- larang, kepercayaan dan petua di atas hanyalah sebahagian yang sempat saya ingat dan catatkan daripada ratusan pantang- larang yang diajarkan kepada saya sejak kecil. Walaupun ada sesetengah pantang larang itu tidak disertakan sebab musababnya, rasanya tidak berat untuk diamalkan sebagai tanda hormat pada orang- orang terdahulu. Bagi saya secara peribadinya berbangga kerana orang dahulu telah ada cara hidup sendiri yang membentuk identiti mereka, dan mereka tidak pula perlu terikut- ikut mana- mana budaya hidup orang.

Ulasan

  1. pantang nenek2 kita dulu ni kadang ada yang betul... dan ada sebab jugak... :)

    BalasPadam
  2. Bulu mata saya selalu Gugur.
    Sape yang rindu saya agaknye?
    Hehe..

    BalasPadam

Catat Ulasan

,")..Terima Kasih kerana sudi utk memberi sepatah dua kata dekat ana yer...
Terbuka renda tertanggal butang,
Kebaya AcIk Ana butang selari;
Jika tiada aral melintang,
Sila LA Lagi DATANG kemari.('',



Catatan Popular