Perubahan perlukan strategi, sikap positif

 
 
 
 
PERUBAHAN memerlukan perancangan yang sistematik dan berhati-hati kerana apa juga bentuk perubahan yang ingin dilakukan, persediaan awal perlu diberi keutamaan. Niat untuk berubah daripada satu keadaan atau sikap yang mundur, ketinggalan, kegagalan, kepada satu keadaan dan sikap yang lebih baik serta cemerlang ialah satu keinginan yang murni.
Inilah keinginan yang perlu ada dalam diri setiap individu untuk berubah kepada satu keadaan yang lebih baik.
Hakikat itu dituntut dalam ajaran Islam sebagaimana firman Allah dalam Al-Quran, menerusi ayat 11, surah Al-Ra'd yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum itu sehinggalah mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri".
Seorang remaja sudah pasti ingin menjadi seorang dewasa yang berjaya, begitu juga seorang pelajar sudah tentu ingin menjadi seorang pelajar yang cemerlang hingga ke menara gading.
Seorang pekerja pula pasti bercadang menambah kemahiran diri agar dapat meningkatkan kecekapan dan produktiviti kerja.
Malahan setiap dari kita sering memasang azam untuk berubah dalam apa juga perkara lebih-lebih kali apabila menjelang ketibaan tahun baru.
Jika keadaan masa kini tidak menunjukkan perkembangan positif, bermakna kita perlu melakukan sesuatu ke arah masa depan yang lebih baik dan cemerlang.
Perubahan adalah satu keadaan yang perlu dilakukan dan kadang kala ia tidak dapat dielakkan cuma, perlu dirancang lebih teliti dengan sistematik.
Terdapat juga perubahan yang berlaku secara tiba-tiba tanpa perancangan rapi.
Bagaimanapun, adalah lebih baik memiliki strategi pengurusan terancang bagi disesuaikan dengan keadaan semasa untuk mengelakkan perkara yang boleh mendatangkan kerugian disebabkan perubahan yang berlaku secara tiba-tiba.
Kenapa seseorang perlu kepada perubahan dan mengapa perubahan itu perlu dilakukan dengan perancangan yang rapi?
Merancang untuk berubah mendedahkan kita kepada sesuatu keadaan yang baru dan persediaan awal dapat membantu dalam menjalani kehidupan yang baru itu.
Matlamat utama perubahan ialah mencapai tahap yang lebih baik daripada sebelumnya dan untuk mencapai tahap itu, sudah pasti persediaan sewajarnya perlu diadakan.
Persediaan boleh berlaku dalam bentuk persediaan minda dan emosi, persediaan kewangan, maklumat yang tepat, dan sebagainya.
Bagi seorang pelajar, jika matlamatnya adalah untuk berjaya dalam pencapaian akademik, dia akan bersedia dengan cara membuat jadual pelajaran yang sistematik dan tersusun.
Selain itu pelajar yang ingin berjaya akan mengulangkaji pelajaran, menghadiri kelas tuisyen, di samping mengadakan perbincangan berkumpulan dan bertukar-tukar nota.
Pelajar itu juga akan memastikan memperoleh jumlah tidur mencukupi, mendapat makanan seimbang dan memelihara tahap kesihatan yang baik secara berterusan.
Beberapa langkah yang perlu diberi perhatian dalam merancang perubahan bagi memastikan apa yang dirancang dapat dicapai ialah:
Tetapkan tujuan dan objektif sesuatu perubahan yang hendak dilakukan. Individu perlu menetapkan apakah matlamat dan tujuan perubahan dilakukan. Tujuan perlu jelas agar persediaan yang dilakukan dapat membantu mencapai objektif yang diingini.
Menilai keperluan terhadap perubahan. Individu perlu menilai sama ada perlu dilakukan perubahan atau tidak kerana dalam sesetengah situasi, perubahan tidak perlu.
Perubahan yang dibuat haruslah sesuatu yang berada dalam kawalan individu berkenaan. Terdapat perubahan yang berlaku bukan di bawah kawalan mana-mana individu sama ada dari segi matlamat dan objektif mahupun dari segi prosesnya.
Oleh yang demikian, agak sukar untuk melakukan perubahan dan persediaan ke arah itu.
Cara terbaik ialah memantau perubahan yang berlaku agar tidak menjejaskan kestabilan diri dan kehidupan.
Sebagai contoh, perubahan biologikal dan fisiologikal seperti perubahan hormon dalam darah ketika baligh.
Perubahan yang berlaku ini seringkali mengejutkan kebanyakan remaja.
Ada antara mereka yang tidak dapat menerima perubahan itu sehingga menimbulkan pelbagai masalah.
Bagi mengatasi kekalutan yang melanda, langkah terbaik ialah bersedia awal seperti memahami perubahan yang biasa berlaku pada ketika itu, hadapi dengan perasaan terbuka, berfikiran positif dan dapatkan nasihat mereka yang sudah melalui perubahan itu.
Sebagai seorang Muslim, iman dan takwa kepada Allah menjadi tunjang utama dalam melakukan perubahan membabitkan sikap dan minda agar perubahan yang dilakukan tidak bercanggah dengan syariat Islam.
Mempelajari teknik pengurusan perubahan perlu untuk memastikan setiap perubahan yang ingin dilakukan mencapai matlamatnya.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah berkata ketika melancarkan Wawasan 2020 bahawa, "Perancangan yang baik dan sistematik ialah perancangan yang bukan saja cantik di kertas, tetapi yang mampu dilaksanakan dan membawa kejayaan".
Dalam dunia ini, tiada sesiapa yang merancang untuk gagal, tetapi kegagalan dalam hidup yang sebenarnya ialah kegagalan untuk merancang dan melaksanakan apa yang telah dirancang.

Ulasan

  1. Nak berubah tu senang. Tapi, nak istiqamah tu payah sangat. Harap Allah beri kekuatan pada saya & kita semua.

    BalasPadam
  2. susah nk berubah 100% byk nk kena istikarah..

    BalasPadam

Catat Ulasan

,")..Terima Kasih kerana sudi utk memberi sepatah dua kata dekat ana yer...
Terbuka renda tertanggal butang,
Kebaya AcIk Ana butang selari;
Jika tiada aral melintang,
Sila LA Lagi DATANG kemari.('',



Catatan Popular