Berjumpa Lagi Kita Dengan Ramadhan 2023

 

RAMADAN datang lagi. Berbanding cara memeriahkan Ramadan pada zaman ini, banyak bezanya dengan zaman silam.

Dahulu tiada gerai atau orang berjual juadah pada Ramadan, tetapi sekarang kita ada bazar Ramadan khusus menyediakan pelbagai juadah untuk berbuka puasa.

Dikhuatiri keutamaan dan kelebihan Ramadan ini terpadam dalam minda umat Islam kerana terpesona dengan persediaan zahir ini untuk menyambut Ramadan.

Seolah-olah apabila tiba Ramadan, penyediaan juadah untuk berbuka puasa menjadi keutamaan, tanpa kita mengetahui terdapat perkara lain yang lebih utama.

Justeru, mari kita semak keutamaan Ramadan berdasarkan sumber wahyu.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW memberi khabar gembira kepada sahabatnya dengan bersabda: “Telah datang kepadamu Ramadan, bulan diberkati. Allah SWT mewajibkan kepadamu puasa di dalamnya. Pada bulan ini pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan para syaitan diikat.

Terdapat juga pada bulan ini malam lebih baik daripada seribu bulan. Barang siapa tidak memperoleh kebaikannya maka dia tidak memperoleh apa-apa.” (maksud hadis riwayat Ahmad dan an-Nasa’ie)

Sangat istimewa Ramadan dalam kehidupan manusia beriman, justeru ulama mengajak kita menyiapkan minda dan hati menyambut ketibaannya pada malam memperingati Nisfu Syaaban.

Nisfu Syaaban bermakna pertengahan Syaaban, memberi peringatan bahawa hanya ada 14 atau 15 hari sahaja lagi untuk kita melangkah ke bulan Ramadan dan melakukan ibadah puasa di dalamnya.

Justeru, wajar kita membiasakan diri dengan amalan sunat sepanjang Ramadan seperti berpuasa, solat, bersedekah, bangun malam dan membaca al-Quran.

Hadis di atas menyenaraikan kelebihan Ramadan berbanding bulan lain dengan perkhabaran perihal dibuka pintu syurga dan ditutup pintu neraka.

Pada Ramadan, syaitan dibelenggu, bermaksud manusia hanya bertarung dengan hawa nafsunya sahaja dalam menyempurnakan kewajipan kepada Allah SWT.

Manakala, antara keistimewaan Ramadan ialah di dalamnya terdapat satu malam lebih bernilai daripada 1,000 bulan bersamaan 83 tahun merupakan antara rahmat Allah SWT untuk hambanya.

Ubadah bin ash-Shamit meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Telah datang kepadamu Ramadan, bulan penuh dengan keberkahan. AIlah SWT mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapus dosa dan mengabulkan doa. Allah SWT melihat berlumba-lumbanya kamu pada bulan ini dan membanggakanmu kepada para malaikat-Nya, maka tunjukkanlah kepada Allah SWT hal baik dari dirimu. Kerana orang sengsara ialah yang tidak mendapatkan rahmat Allah SWT pada bulan ini.” (maksud hadis riwayat ath-Thabrani).

Inilah antara keistimewaan Ramadan yang pasti datang setiap tahun, cuma yang belum pasti ialah umur kita, adakah kita berpeluang memeriahkan kehadiran Ramadan ini?

Atau adakah kita hanya berseronok dengan juadah semasa berbuka dan lupa dengan rahmat lain Allah SWT?

Tentu lebih pelbagai dan lebih nikmat lain jamuan di syurga bagi mereka yang menempuh Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan.

Ulasan

Catat Ulasan

,")..Terima Kasih kerana sudi utk memberi sepatah dua kata dekat ana yer...
Terbuka renda tertanggal butang,
Kebaya AcIk Ana butang selari;
Jika tiada aral melintang,
Sila LA Lagi DATANG kemari.('',



Catatan Popular