Move On?

 Kenapa orang lain senang sahaja nak move on? Aku dah sepuluh tahun suka orang yang sama. Paling kelakar kami jarang berhubung, tujuh tahun tak jumpa. Tapi, hati ini masih tak boleh lupakan dia.  


“Fakta psikologi mengatakan kalau kita tak dapat melupakan seseorang tu, maksudnya dia pun sama. Mungkin dia pun sukakan kau juga?”


Aku ketawa pahit mendengar andaian dan fakta psikologi yang dikatakan oleh Anisa. Kalaulah apa yang dia katakan itu benar, kenapa orang itu tak luahkan sahaja perasaannya pada aku? Walaupun sekarang dah tak kisah perigi cari timba, aku masih berpegang pada prinsip yang aku takkan mulakan dahulu. Bukan kerana takut ditolak, tapi bimbang aku akan kehilangan sahabat lelaki yang aku sayangi dalam diam.


“Tapi, sejujurnya aku dah pernah confess.”


Anisa yang sedang menyedut minumannya menggunakan straw tersedak mendengar pengakuanku. 


“Kau confess? Bila? Kau kata tak pernah confess?” Keliru Anisa dibuatnya. 


“Aku tak pernah beritahu dia secara berterus terang. Tapi, aku pernah tulis dalam bahasa Korea yang aku suka dia.” 


Itulah kelebihan aku kerana mempelajari bahasa dan tulisan Korea disebabkan minat mendalam terhadap drama dan muzik pop negara itu. 


“Kau fikir dia tu oppa ke sampai nak confess dalam bahasa Korea?” 


“Sebab dia bukan oppa lah aku confess dalam bahasa Korea supaya dia tak faham,” balasku serius. 


“Apa sebenarnya yang kau suka sangat tentang dia?” soal Anisa lagi. Lagaknya sekarang tak ubah seperti wartawan hiburan. Macamlah aku ni artis. 


“Aku tak tahu kenapa aku suka dia. Walau bertahun tak jumpa, Allah masih simpan perasaan ni untuk dia. Mungkin aku akan move on kalau dia bagi kad jemputan kahwin kut. Mungkin masa tu aku akan sedar dia bukan takdir yang tertulis untuk aku,” jelasku panjang lebar. 


Aku tak pernah bercinta atau putus cinta. Aku cuma pernah menyukai seseorang dalam diam dan perasaan tu sangat sakit sampai boleh buat aku menangis seorang diri. Jujur aku nak akhiri zaman cinta bertepuk sebelah tangan ni, tapi aku tak tahu macam mana untuk mengakhirinya.


“Kita tak mampu paksa perasaan tu. Semuanya milik Allah. Kalau dia bukan untuk kau, suatu hari nanti dia akan hilang dari hati dan fikiran kau.”


Aku menganggukkan kepala sambil mengambil cawan berisi coklat hangat, lalu dihirup sedikit-sedikit. Benar apa yang Anisa katakan. Itulah yang sedang aku lakukan sekarang. Ada kalanya aku berharap dia takkan menghubungiku. Namun pada masa yang sama, aku juga menunggu mesej daripadanya. 


“Kenapa kau tak chat je dia dulu? Kau orang kan kawan?” soal Anisa. 


“Aku awkward,” jawabku. 


“Awkward?” Anisa berkerut.


“Ya. Aku takut dia tak suka aku chat dia atau dia terpaksa layan chat aku. Dia reply chat pun sepatah je. Dia buat aku rasa awkward dengan dia.” 


“Pelik betullah kamu ni.” Anisa menggeleng sambil melepaskan satu keluhan. 


Bip! 


Mataku melirik pada skrin telefon pintar yang menyala. Jantungku berdebar bila melihat nama yang tertera pada skrin telefon.


“Dan dia yang chat kau dulu.” Anisa mengusik. 


“Dan dia juga yang akan bluetick aku dulu.” Aku ambil telefon pintar di atas meja untuk membaca mesej daripadanya.

Ulasan



Catatan Popular