berpantang
BERPANTANG EMPAT PULUH EMPAT  HARI 
Selama empat puluh empat hari,  dikira dari hari pertama bersalin, adalah diadatkan kepada ibu tersebut  untung menjalani pantang. Ini bererti ibu tersebut ditegah daripada  makan sebarangan mengikut kehendaknya atau membuat apa-apa jua kerja  rumahtangga, walaupun bangun berjalan meninggalkan tempat tidurnya.  Selepas tujuh hari barulah ibu tersebut dibenarkan berjalan  sedikit-sedikit, itu pun hanya di dalam rumahnya sahaja. Pantang ini  adalah dianggap suatu perkara yang penting sekalipun ibu tersebut  merasakan yang dia sudah boleh membuat sebarang aktiviti seperti biasa  dilakukan. Ketika dalam berpantang, ibu tersebut akan dikehendaki  memakai stoking atau membalut kakinya dengan kain bagi mengelakkan angin  memasuki badan. Di dahinya pula akan dilumurkan ubat yang bertujuan  menarik angin keluar dari badan. 
Berpantang bukan sahaja  melibatkan pemakanan dan kesihatan diri ibu tersebut. Si suami juga  tidak digalakkan untuk meniduri isterinya ketika si isteri sedang  berpantang. Ini kerana dalam tempoh berpantang, si isteri akan berasa  lemah badan dan sakit ketika bersalin masih belum hilang sepenuhnya.  Selain itu, isteri juga akan mengalami darah nifas yang hanya keluar  selepas bersalin dan keadaan ini menimbulkan rasa kurang selesa bagi  isteri untuk didatangi suaminya. 
Di antara ubat yang dipakai dan  dimakan oleh ibu bersalin biasanya adalah ubat yang diberikan oleh tok  bidannya sahaja. Selain daripada ubat yang dimakan dan dipakai, ibu  tersebut juga akan menjalani kaedah bertungku (tuam) di perutnya sehari  sekali selama tempoh pantangnya. Ada sesetengah bidan menggantikan  kerja-kerja bertungku dengan berdiang. Ibu-ibu akan diberikan makanan  yang boleh mendatangkan sumber darah di dalam badannya bagi menggantikan  darah yang telah banyak hilang semasa bersalin, contohnya limpa dan  hati. Makanan tersebut juga akan dimasak mengikut cara tertentu yang  boleh membantu menghilangkan angin di dalam badan dan mengecutkan segala  urat saraf yang telah mengembang. Ibu-ibu juga biasanya dinasihatkan  memakan jamu yang dapat memulihkan semula tenaga dan memperbaiki tekstur  dan bentuk tubuh badan mereka seperti sediakala. 
Namun begitu, bagi masyarakat  sekarang, bersalin di hospital adalah lebih selamat dan mudah.  Walaubagaimanapun, pantang larang selepas bersalin akan tetap diamalkan  dalam masyarakat Melayu untuk menjamin kesihatan ibu tersebut. 

Ulasan
Catat Ulasan
,")..Terima Kasih kerana sudi utk memberi sepatah dua kata dekat ana yer...
Terbuka renda tertanggal butang,
Kebaya AcIk Ana butang selari;
Jika tiada aral melintang,
Sila LA Lagi DATANG kemari.('',