Oren Untuk Kesihatan Jantung, Kulit dan Badan




PENYAKIT JANTUNG DI KALANGAN GENERASI MUDA
Banyak orang menyangka serangan jantung hanya menyerang orang tua sahaja, walhal disebabkan perkembangan arus dunia, gaya hidup dan corak pemakanan yang berubah, keadaan tidak sebegitu lagi. Sejak akhir-akhir kebanyakan kes jantung turut menyerang orang muda, malah ada kes yang menunjukkan orang yang berusia semuda 18 tahun juga tidak terkecuali daripada diserang penyakit yang sama.
Menurut kajian Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Ahmad Syadi Mahmoos Zuhdi, 20% pesakit jantung terdiri daripada mereka yang berumur 40 tahun ke bawah. Statistik itu menunjukkan pesakit yang berumur 40 tahun ke bawah meningkat.
Sementara itu, menurut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, akibat tidak bersenam dan gagal mengamalkan gaya hidup sihat dipercayai menjadi faktor bilangan penghidap penyakit jantung yang baru, mencecah sehingga 38 000 orang setiap tahun.
Jumlah tersebut menggambarkan penyakit jantung sebagai penyumbang kematian terbesar di hospital-hospital kerajaan iaitu 16.54% daripada keseluruhan kematian yang dicatatkan pada 2008.
PEMAKANAN DAN KESIHATAN
Pemakanan yang baik adalah pendekatan terbaik untuk mencegah penyakit dan penjagaan kesihatan.
Pakar Diet Klinikal, Pusat Perubahan Gaya Hidup, Pusat Perubatan Prince Court, Tan Yen Sing menjelaskan, kajian menunjukkan pengambilan lebih daripada lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran sehari dikatakan boleh mengurangkan sehingga 17 peratus penyakit jantung koronari.
“Nutrien adalah khasiat yang mesti kita peroleh daripada makanan. Khasiat pemakanan ini adalah penting untuk pertumbuhan dan penjagaan tubuh badan sepanjang hayat,” katanya.
Buah-buahan memiliki kandungan gizi, vitamin dan mineral yang sangat baik untuk tubuh. Malangnya, berapa ramai antara kita tahu kelebihan sebenar khasiat buah-buahan kecuali vitamin C yang sering dikaitkan dengan buah-buahan tertentu seperti oren dan epal.
KHASIAT OREN
Anda mungkin tahu, sebiji oren mampu memberikan kesegaran yang tak terhingga, akan tetapi tahukah anda akan khasiatnya? Khasiatnya buah oren ini, terima kasih kepada Negara China yang memperkenalkannya.
Buah oren berasal dari China ribuan tahun lalu dan diperkenalkan di benua-benua Eropah. Kini ianya ditanam hampir di seluruh pelusuk dunia. Buah oren atau nama saintifiknya Citrus sinensis mampu bertahan selama 2-3 hari sekiranya disimpan pada suhu bilik. Negara Brazil merupakan pengeluar terbesar jus di dunia diikuti Amerika Syarikat.
Buah oren mempunyai kaitan dengan kesihatan jantung, penglihatan, pelalian dan mengurangkan risiko penyakit kanser. Pada masa sama, buah sitrus ini turut memiliki kelebihan sebagai antioksidan, membantu perkembangan otak janin dan mengawal tekanan darah.
Oren kaya dengan vitamin dan mineral, antaranya:
1.  Vitamin C
Vitamin C berperanan dalam pembentukan kolagen (komponen dasar pembentukan jaringan saraf dalam tubuh). Pembentukan kolagen yang baik sangat diperlukan untuk pembentukan ligamen, tendon, kulit, pembuluh darah dan tulang. Ia juga membantu proses penyembuhan luka.
Vitamin C juga berperanan menyerap zat besi bukan organik (zat yang bukan berasal dari haiwan) yang membantu mencegah anemia (kekurangan sel darah merah). Ia terbukti mencegah kerosakan sel akibat radikal bebas yang mencetuskan pelbagai penyakit, juga mencegah pembentukan sel kanser.
Selain itu, pengambilan vitamin C ini berupaya mencegah kenaikan LDL (lemak jahat) yang merupakan faktor utama penyakit jantung. Ia juga bertindak sebagai agen antioksidan yang mampu melawan radikal bebas dan dapat mencantikkan kulit dengan memperkuatkan sel-sel kulit dan mempercepatkan pembaikpulihan jaringan yang rosak.
2.  Karbohidrat
Oren mengandungi karbohidrat dalam bentuk fruktosa, glukosa dan sukrosa. Serat di dalam karbohidrat melambatkan proses pengosongan perut, pencernaan dan penyerapan khasiat makanan. Oleh yang demikian, ia sesuai untuk sesiapa yang sedang berusaha menurunkan berat badan.
3.  Folat
Folat dapat menurunkan kadar homocysteine, sejenis asid amino yang merupakan racun bagi dinding pembuluh darah. Demikian, ia berupaya menurunkan risiko penyakit kardiovaskular.
Selain itu buah oren juga mengandungi potasium, kalsium, thiamin (vitamin B1), riboflavin (vitamin B2), niasin (vitamin B3), asid pantotenik (vitamin B5), vitamin B6 dan fosforus.
Tidak perlu banyak, sebiji oren bersaiz sederhana setiap hari adalah mencukupi untuk keperluan tubuh badan anda. Jadi, apa tunggu lagi? Makanlah oren hari ini untuk mendapatkan jantung yang baik, kulit yang cantik dan badan yang sihat!

Ulasan



Catatan Popular