Tips-Tips Khusyu’ Dalam Solat
KHUSYU’
Khusyu‘ dalam sembahyang  ialah menghadirkan hati kepada Allah SWT di  dalam sembahyang. Ia merupakan  hakikat batin yang sebenar-benarnya  bagi suatu sembahyang. Hakikat zahirnya  pula ialah perbuatan anggota  seperti berdiri, membaca, ruku‘, sujud dan  sebagainya.  Kedua-duanya mestilah dilaksanakan dengan sempurna. Sabda  Rasulullah  SAW:
“Sembahyang itu dua-dua rakaat, terdapat tasyahhud pada setiap dua rakaat, kekhusyu‘an hati, bersungguh-sungguh memohon dan merendah diri serta ketenangan hati……..” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Khusyu‘  dalam sembahyang itu merupakan antara kunci yang penting  untuk memberi  kesan yang baik secara efektif kepada orang yang  mendirikannya. Allah  Ta‘ala menggelar mereka sebagai orang mukmin yang  berjaya. Allah Ta‘ala berfirman:
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyu‘ dalam sembahyangnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 1-2)
Melihat  kepada kepentingan khusyu‘ dalam sembahyang itu maka  diutarakan di sini  sebahagian tip atau panduan yang boleh digunapakai  untuk memandu diri  kita ke arah perlaksanaan ibadat sembahyang yang  khusyu‘.
SEBELUM MENDIRIKAN SEMBAHYANG
i.  Menjaga makanan dan minuman.
Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging; apabila ia baik, maka baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, maka rosaklah sekaliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
ii.  Mengambil wudhu dengan sempurna supaya air mengenai semua anggota wajib serta mengingati niat.
 Sebab kesempurnaan sembahyang juga terletak kepada  kesempurnaan wudhu’. Diriwayatkan  daripada Abu Rauh al-Kula‘ie daripada  seorang laki-laki bahawa beliau  pernah mendirikan sembahyang Subuh  bersama Rasulullah SAW. Baginda SAW dalam sembahyang  tersebut membaca  surah ar-Ruum. Pada salah satu ayatnya, bacaan Baginda SAW terganggu.  Lalu apabila selesai sembahyang Baginda SAW bersabda:
“Sesungguhnya bacaan kami terganggu disebabkan terdapat beberapa orang di antara kamu yang sembahyang bersama kami tidak menyempurnakan wudhu’ mereka. Oleh itu, siapa yang mendirikan sembahyang bersama kami, maka sempurnakanlah wudhu’nya.” (Hadis riwayat Ahmad dan an-Nasa’ie).
iii.  Membersihkan diri, termasuk bersugi.
“Jika tidak mendatangkan kesusahan ke atas umatku atau ke atas manusia nescaya aku menyuruh mereka bersiwak pada setiap kali hendak sembahyang.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
iv.  Jangan sembahyang dalam keadaan menahan buang air besar atau air kecil.
v.  Jangan sembahyang dalam keadaan lapar.
Sebolehnya  selesaikan atau perkemaskan segala urusan keperluan diri  termasuk makan  dan qadha hajat terlebih dahulu. Tujuannya ialah supaya  tidak timbul  kebimbangan dan ketidakselesaan ketika menunaikan  sembahyang. Sabda Rasulullah SAW:
Jangan sembahyang ketika makanan (yang hendak dimakannya) sedang tersedia, dan jangan sembahyang dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil.” (Hadis riwayat Muslim).
vi.  Memakai pakaian yang bersih dan kemas.
Jangan  memakai pakaian yang kurang selesa, seperti memakai sarung  kaki yang  sempit, mengikat serban terlalu ketat dan sebagainya.
vii.  Pilih tempat sembahyang yang suasananya tenteram, selesa, tidak bising dan sebagainya.
Imam an-Nawawi rahimahullah menjelaskan bahawa makruh menunaikan  sembahyang di tempat  orang lalu lalang, kerana yang demikian itu boleh  mengganggu kekhusyukan  sembahyang seseorang. Diriwayatkan daripada Ibnu  ‘Umar r.a.:
“Bahawa Rasulullah SAW menegah mendirikan sembahyang pada tujuh tempat: Tempat pembuangan sampah, tempat penyembelihan, kubur, tengah-tengah jalan, bilik mandi, tempat unta duduk di keliling air dan di atas Baitullah.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi).
viii.  Pastikan supaya tidak ada objek atau gambar yang boleh mengganggu fikiran atau membimbangkan hati di tempat sujud.
Diriwayatkan  daripada Saidatina ‘Aisyah r.a. bahawa Nabi SAW pernah  mendirikan sembahyang di atas hamparan daripada  bulu yang mempunyai  objek lukisan, lalu Baginda SAW:
“Objek lukisan ini mengganggu aku, bawalah ia kepada Abu Jahm dan bawakan kepadaku hamparan tebal yang tidak ada ukiran.” (Hadis riwayat Muslim).
Tersebut di dalam riwayat bahawa Abdullah bin  ‘Umar Radhiallahu  ‘anhuma tidak pernah meletakkan al-Qur’an atau  pedangnya di tempat  sembahyangnya, juga tulisan atau surat. Semuanya  diletakkan di  belakangnya atau di mana saja yang tidak dapat dilihat  olehnya.
KETIKA HENDAK MENUNAIKAN SEMBAHYANG
i.  Usahakan sembahyang dilakukan secara berjemaah.
ii.  Menghadirkan hati.
Maksudnya ialah sebelum  mendirikan sembahyang kosongkan hati dari  segala urusan yang boleh  mengganggu ataupun yang tidak ada sangkut-paut  dengan ibadat sembahyang  yang dikerjakan.
Abu Darda’ Radhiallahu ‘anhu berkata:
“Antara tanda kefahaman seseorang ialah dia memulai memenuhi keperluannya terlebih dahulu sebelum dia masuk menunaikan sembahyang supaya dia masuk ke dalam sembahyang dalam keadaan hatinya kosong dari perkara yang lain.”
iii.  Mengingatkan mati dan kemungkinan sembahyang itu yang terakhir sekali dalam hidupnya.
Diriwayatkan  daripada Hatim al-Asham r.a. bahawa ditanyakan kepadanya  tentang sembahyangnya, beliau menjawab:
“Apabila tiba waktu sembahyang aku menyempurnakan wudhu dan aku mendatangi tempat di mana di situ aku hendak mendirikan sembahyang. Lalu aku duduk pada tempat itu sehingga berkumpullah seluruh anggota tubuhku. Kemudian aku berdiri menunaikan sembahyangku dan aku jadikan Ka‘bah di antara dua keningku, titian ash-shirath di bawah tapak kakiku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut di belakangku, aku menyangka sembahyang ini adalah sembahyangku yang terakhir. Kemudian aku berdiri di antara mengharap dan takut, aku bertakbir dengan penuh keyakinan, aku membaca dengan bacaan yang betul, aku ruku‘ dengan merendahkan diri, aku sujud dengan khusyu‘, aku duduk atas punggung kiri dan aku bentangkan belakang tapak kaki kiri, aku tegakkan tapak kaki kanan atas ibu jari kaki dan aku ikutkan keikhlasan hati. Kemudian aku tidak tahu sama ada sembahyangku diterima atau tidak?”
iv.  Sebelum mengangkat takbir elok membaca mana-mana zikir yang boleh menjauhkan diri daripada syaitan.
Umpamanya seperti berikut surah an-Nas, ta’awudz, tahlil atau zikir.  Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya salah seorang daripada kamu apabila berdiri menunaikan sembahyang syaitan akan mendatanginya, lalu syaitan menimbulkan kesamaran ke atas orang itu sehingga dia tidak tahu berapa rakaat sudah ditunaikannya….” (Hadis riwayat Muslim).
KETIKA MENUNAIKAN SEMBAHYANG
i.  Meneliti bacaan-bacaan dalam sembahyang, sama ada bacaan   itu terdiri dari ayat-ayat al-Qur’an atau selain daripada ayat-ayat   al-Qur’an (tasbih, takbir dan doa).
Jika boleh,  fahami makna bacaan-bacaan tersebut. Perkara ini amat  penting untuk  menghadirkan hati dalam sembahyang. Hati mestilah ikut  mengetahui segala  apa yang kita baca.
ii.  Merasa rendah hati dan rendah diri ketika dalam ruku‘ dan sujud.
Seseorang hamba paling dekat dengan Tuhannya sewaktu ia bersujud….. (Hadis riwayat Muslim).
iii.   Meliputkan hati dengan kebesaran Allah dan kesucianNya  ketika bertakbir  dan ketika bertasbih pada seluruh gerak-geri dalam  sembahyang.
iv.  Meninggalkan segala fikiran dan lintasan hati yang berkaitan dengan urusan dunia.
v.   Segala perhatian dalam sembahyang itu hendaklah tertumpu  hanya kepada  mendirikan dan menunaikannya dengan yang terbaik sekali.
vi.  Sembahyang dilakukan dalam keadaan thuma’ninah.
Thuma’nînah dalam ruku‘, sujud dan lain-lain rukun fi‘li (perbuatan).  Thuma’ninah  ertinya anggota seseorang itu tetap diam seketika ketika  melakukan  suatu rukun fi‘li di dalam sembahyang seperti ruku‘, sujud  dan  sebagainya, sebelum beralih ke rukun fi‘li seterusnya.   Sekurang-kurangnya tetap diam seketika dalam tempoh pada kadar   bacaan zikir: “SubhanAllah”. Maknanya, gerakan di dalam sembahyang itu   tidak dilakukan dengan tergopoh-gapah, tidak dilakukan dengan   bercepat-cepat tetapi dilakukan dengan tenang dan relaks. Rasulullah SAW  bersabda:
“Apabila kamu berdiri menunaikan sembahyang maka bertakbirlah. Kemudian bacalah ayat al-Qur’an yang mudah bagi kamu. Kemudian rukuklah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan rukuk. Kemudian bangkitlah sehingga kamu berdiri betul. Kemudian sujudlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan sujud. Kemudian bangkitlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan duduk. Kamu buatlah yang demikian itu dalam semua sembahyang kamu. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
vii.  Sentiasa melihat tempat sujud sekalipun orang itu buta.
Jika memejamkan mata boleh  mendatangkan khusyu‘ dalam sembahyang  seseorang itu, maka bolehlah dia  berbuat begitu dan hukumnya tidak  makruh sebagaimana yang dijelaskan  oleh Imam an-Nawawi.
PENUTUP
Kesimpulannya orang-orang yang takut kepada Penciptanya dan menyedari   ia hanyalah hamba akan patuh apasaja yang diperintahkan dan  disampaikan  oleh rasul serta akan khusyuk mendapat nikmat solat seperti  firman  Allah SWT yang bermaksud:
“Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.” [Surah Al-Baqarah : ayat 45-46].

Ulasan
Catat Ulasan
,")..Terima Kasih kerana sudi utk memberi sepatah dua kata dekat ana yer...
Terbuka renda tertanggal butang,
Kebaya AcIk Ana butang selari;
Jika tiada aral melintang,
Sila LA Lagi DATANG kemari.('',