Tips: Melatih anak menjalani gaya hidup sihat

Pepatah ada menyebut, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mencorak gaya hidup anak-anak mereka kelak. Mereka harus ingat, mendidik anak ini konsepnya samalah seperti menanam pokok. Jika pandai mereka menjaga pokok tersebut sehingga besar, maka mereka juga yang akan mendapat tempias untungnya. Ini kerana pokok yang subur dan rendang pastinya menjamin hasil (buah) yang lumayan.
Apa yang mereka beri kepada anak mereka, itulah yang akan mereka akan lihat suatu hari nanti. Jika mereka memanjakan anak-anak mereka dengan makanan yang manis-manis, maka tidak mustahil anak mereka akan kelihatan gemuk ketika remaja. Jika mereka rajin membekalkan anak-anak mereka dengan sumber kalsium seperti keju dan susu, tidak mustahil anak mereka akan kelihatan tinggi ketika remaja. Pendek kata, semuanya terletak di tangan anda: ibu bapa!

Mungkin ibu bapa zaman kini seringkali menggaru kepala dan agak keliru untuk membimbing anak-anak ke arah gaya hidup yang lebih berkualiti. Mungkin apa yang mereka lakukan betul di mata mereka, tetapi hakikatnya ia mungkin kurang tepat dan perlu ditegur. Berikut merupakan 10 tip-tip yang boleh diaplikasikan ketika mendidik anak-anak supaya mereka terdidik menjadi insan yang peka dengan gaya hidup sihat suatu hari nanti.
  1. Sediakan makanan yang seimbang, bermaksud anda sebagai ibubapa sendiri kena tahu di mana terletaknya sumber protein (ikan, telur, ayam, tauhu), sumber utama karbohidrat (nasi), sumber alkaline (sayur-sayuran), dan sumber lemak (kebanyakkannya sudah terdapat dalam makanan tersebut). Anda harus ingat, anak-anak anda akan makan apa sahaja yang anda hidangkan. Kalau anda rajin membekalkan mereka dengan KFC, maka sampai besarlah nanti mereka ketagih KFC.
  2. Hiasi makanan supaya kelihatan ‘menggairahkan’, jika boleh susunlah sayur-sayur secara kreatif bersama-sama hidangan lain supaya kelihatan menarik di mata anak-anak. Ini kalau rupa hidangan (sebagai contoh bubur) pun dah serupa dengan makanan itik di kampung, anak-anak pun akan berfikir 2-3 kali, nak habiskan makanan tu atau sebaliknya.
  3. Jangan sesekali menengking anak dengan menyuruhnya makan dengan pantas. Selalu kita lihat ramai ibu bapa yang berkata begitu kerana anak mereka makan seperti ‘main-main’. Jika boleh, biarlah si anak itu mengunyah makanan dengan perlahan, kerana makan secara perlahan ini akan memastikan makanan yang dimakan itu benar-benar hancur, sekaligus melancarkan lagi proses penghadaman.
  4. Jangan sesekali menyekat si anak bermain. Selalu juga kita lihat ramai ibu bapa yang menyekat kebebasan anak mereka untuk bermain petang, dan menyuruh si anak itu belajar 24 jam sehari! Berilah peluang kepada si anak untuk bermain, kerana dengan cara itu saja si anak akan terdedah dengan gaya hidup yang aktif, sekaligus mempertingkatkan lagi kecerdasan otak (dapat bekalan oksigen yang optimum).
  5. Biasakan si anak dengan senaman mencabar kekuatan, sebagai contoh rock climbing.
  6. Sediakan peraturan supaya anak tidak terlalu dimanjakan dengan makanan. Sebagai contoh “Jajan dan aiskrim hanya boleh dinikmati ketika hujung minggu sahaja, kalau mamam hari-hari lain nanti abah bagi penampar“.
  7. Kurangkan/berhenti membeli makanan lemah khasiat, seperti mee segera, keropok-keropok, air-air manis, dan yang seangkatan dengannya. Pastikan kabinet di dapur tidak terisi dengan makanan-makanan ini. Silap haribulan, kalau dapat perangai anak yang buas macam Shin Chan, habis semua makanan diselongkarnya ketika si ibu sedang tidur petang.
  8. Belikan mereka buku-buku berkenaan kesihatan. Dewasa ini, buku-buku bercorak kesihatan untuk kanak-kanak sudah banyak dijual di kedai-kedai buku. Sebagai contoh, buku bergambar yang menerangkan rupa anatomi manusia (ada nama-nama otot), nama-nama sayur-sayuran, dan sebagainya.
  9. Jadilah ‘role model’ yang berjaya. Janganlah anda sibuk menyuruh si anak mengikut tip-tip di atas, tetapi hakikatnya anda sendiri mengamalkan gaya hidup puaka. Duduk depan tv sepanjang hari, kemudian hisap rokok dan makan jajan tanpa henti sampailah berbungkus-bungkus.
  10. Tunjukkan tanda sokongan kepada anak anda. Sebagai contoh, sekiranya si anak sedari kecil lagi sudah berbadan gempal, janganlah anda kerap membeli KFC, meskipun anda ini hantu KFC. Ber'alah  la sedikit. Nanti kasihan pula si anak itu terpaksa menelan air liur melihatkan si ayah makan KFC dengan lahap.

Ulasan



Catatan Popular