Malam 7 Likur' amalan bidaah - Dr Abu Hassan Din


KUALA LUMPUR: Amalan 'Malam Tujuh Likur' dengan menyalakan pelita, lilin, panjut dan lampu pada malam 27 Ramadan merupakan amalan bidaah dalam Islam.

Mantan Pegawai Agama Istana Negara, Dato' Abu Hassan Din Al-Hafiz menegaskan istilah tujuh likur itu sendiri tidak ada di dalam ajaran agama Islam.

Amalan karut tersebut tidak wujud dalam ajaran Islam lebih-lebih lagi mereka yang percaya pada malam 27 itu perlu disinari dengan cahaya lampu.

"Perbuatan memasang lampu pada malam itu adalah bidaah dan tidak ada di dalam Islam. Tidak kira lampu apa pun sama ada pelita, lilin, atau lampu berwarna-warni," katanya ketika dihubungi.

Ustaz Abu Hassan turut mempersoalkan, kenapa malam yang dikatakan tujuh likur itu sahaja lampu mesti dipasang?

Beliau tidak menafikan ada sesetengah umat Islam menganggap pada malam 27 itu adalah malam Lailatul Qadar sebab itulah mereka menerangkan suasana rumah mereka dengan cahaya lampu atau pelita.

"Sebenarnya, Nabi SAW sudah berkata Lailatul Qadar adalah sepuluh malam terakhir yang kita tidak tahu bila malamnya. Bukannya pada malam 27 Ramadan.

"Sebab malam 27 likur itu tidak ada di dalam nas. Kita bukan suruh orang itu hidupkan malam itu dengan lampu, kita suruh hidupkan malam itu dengan amal ibadat, sebab itu malam sepuluh terakhir, jangan tidur!" tegas tokoh agama itu.

Justeru, Ustaz Abu Hassan menegaskan, amalan karut itu wajar dihentikan dengan segera jika masih ada lagi sesetengah umat Islam yang mengamalkannya.

"Bagi saya kalau hendak pasang juga lampu, biarlah ianya dimulakan pada awal Ramadan sehingga akhir bulan itu. Kalau kita hendak muliakan Ramadan awal lagi kita sudah pasang lampu," katanya.

Malam tujuh likur biasanya diamalkan di kampung-kampung yang mana hampir keseluruhan rumah akan disinari dengan cahaya lampu terutama menjelang Syawal, bagaimanapun amalan ini sudah sebati dalam masyarakat Islam pada hari ini.

Ulasan

Catat Ulasan

,")..Terima Kasih kerana sudi utk memberi sepatah dua kata dekat ana yer...
Terbuka renda tertanggal butang,
Kebaya AcIk Ana butang selari;
Jika tiada aral melintang,
Sila LA Lagi DATANG kemari.('',



Catatan Popular